Rundingan Petronas-Petros perlu dibuat berhati-hati bukan terburu-buru, kata Rafizi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rundingan Petronas-Petros perlu dibuat berhati-hati bukan terburu-buru, kata Rafizi

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa agar rundingan antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) mengenai hak sumber gas negara dilakukan secara berhati-hati dan tidak tergesa-gesa.

 

Menurutnya, sebarang kelalaian dalam proses rundingan berkenaan boleh memberi kesan besar kepada struktur ekonomi negara secara keseluruhan.

 

"Jika tuntutan Sarawak terhadap hasil gas diterima tanpa mengambil kira struktur kewangan sedia ada, Petronas berisiko kehilangan antara RM15 bilion hingga RM20 bilion setiap tahun. Ini bukan jumlah yang kecil," katanya menerusi episod terbaharu podcast beliau, Yang Berhenti Menteri.

 

Jelas Rafizi, sumbangan tahunan Petronas kepada kerajaan persekutuan adalah antara RM30 bilion hingga RM35 bilion, yang digunakan untuk membiayai perkhidmatan asas negara seperti pendidikan, kesihatan, infrastruktur, pencen dan gaji penjawat awam – termasuk di Sarawak.

 

"Walaupun hasilnya tidak masuk terus ke dalam kantung kerajaan negeri, sekolah, hospital dan jalan raya di Sarawak turut dibangunkan menggunakan dana persekutuan daripada dividen Petronas," katanya lapor Business Times.

 

Beliau menambah, sekiranya Petronas kehilangan RM20 bilion, syarikat itu mungkin tidak lagi mampu membayar dividen sebanyak RM35 bilion kepada kerajaan persekutuan.

 

Keadaan ini, menurut beliau, boleh membawa kepada penurunan penarafan kredit negara, yang seterusnya meningkatkan kos pinjaman kerajaan secara signifikan.

 

"Ketika ini, kerajaan membayar RM48 bilion setahun hanya untuk faedah hutang. Jika penarafan kredit jatuh, kos ini boleh meningkat kepada RM60 bilion setahun," katanya.

 

Risiko Perundangan dan Keyakinan Pelabur

 

Isu pertindihan undang-undang antara Akta Pembangunan Petroleum dan Ordinan Perlombongan Minyak telah memburukkan lagi kekeliruan berkaitan hak milik sumber tenaga.

 

Sarawak menuntut hak eksklusif ke atas sumber tenaga sehingga 200 batu nautika dari perairannya, berdasarkan peta dan hak yang didakwa wujud sebelum menyertai Malaysia pada 1963.

 

Namun begitu, undang-undang persekutuan seperti 'Continental Shelf Act 2012' menetapkan bahawa hak ke atas sumber minyak dan gas melebihi tiga batu nautika berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan, dan dengan itu, milik Petronas.

 

Rafizi berkata rakyat Sarawak memang berhak mendapat lebih banyak hasil daripada sumber mereka, namun sebarang tuntutan perlu dilakukan secara berhati-hati dan berstruktur.

 

"Jika pelabur melihat dasar minyak dan gas kita tidak stabil, mereka akan tarik diri. Industri ini memerlukan pelaburan awal berbilion ringgit. Jika wujud ketidaktentuan politik atau dasar, pelabur akan beralih ke Indonesia, Surinam atau negara lain," jelasnya.

 

Sebagai contoh, katanya, syarikat minyak AS, ConocoPhillips, telah mengesahkan pengunduran dari medan minyak laut dalam Salam-Patawali (Blok WL4-00) di perairan Sarawak pada April lalu – dipercayai akibat ketidaktentuan dasar dan perundangan.

 

Pada awal tahun ini, Shell MDS juga memperoleh perintah injunksi untuk meneruskan operasi tanpa gangguan sehingga pertikaian antara Petronas dan Petros diselesaikan melalui proses undang-undang.

 

Petronas

 

Pelaburan, Kontrak dan Keyakinan Pasaran

 

Menurut Rafizi, pelaburan dalam sektor minyak dan gas biasanya berdasarkan perjanjian jangka panjang, dan sebarang pindaan unilateral terhadap kontrak boleh menggugat keyakinan pelabur secara keseluruhan.

 

Beliau merujuk kepada Ordinan Pengagihan Gas 2016 yang memberi kawalan penuh kepada kerajaan negeri Sarawak melalui Petros, walaupun kontrak asal pembelian dan penjualan gas dibuat antara Petronas dengan pembeli dari Jepun dan China.

 

“Pelabur mengambil kira unjuran keuntungan jangka panjang sebelum membuat keputusan untuk melabur sehingga RM6 bilion bagi membangunkan infrastruktur. Sekiranya kontrak diubah secara mengejut atau tuntutan tambahan dibuat, ia boleh menyebabkan kegusaran dalam kalangan pembeli antarabangsa,” katanya.

 

Sebagai contoh, tambahnya, jika satu pihak tiba-tiba menuntut tambahan RM15 bilion di luar perjanjian asal, persoalan timbul dari mana sumber itu akan diperoleh – dan jika Petronas perlu menanggungnya, pembeli antarabangsa berkemungkinan akan membantah.

 

Beliau menekankan bahawa ketidaktentuan berkaitan Petronas bukan sahaja menjejaskan syarikat itu secara langsung, tetapi boleh memberi kesan kepada keseluruhan ekosistem kewangan negara.

 

Realiti Politik Perlu Selari Dengan Kepentingan Ekonomi

 

Sebagai bekas pegawai Petronas, Rafizi berkata sebarang rundingan perlu mencapai penyelesaian menang-menang yang tidak melemahkan daya saing industri.

 

“Saya setuju Sarawak harus menerima lebih banyak hasil, tetapi kita perlu cari mekanisme yang tidak menjejaskan industri, kelestarian Petronas dan kedudukan ekonomi negara.”

 

Beliau menegaskan sebarang penstrukturan semula hasil minyak dan gas harus memastikan pembangunan berterusan, bukannya memburukkan lagi struktur kewangan negara yang sedia tertekan. - DagangNews.com