KUALA LUMPUR 17 Dis - Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) berharap kesinambungan dan kestabilan dasar dapat diteruskan bagi memberi keyakinan kepada perniagaan serta pelabur untuk merancang dan melabur dalam jangka panjang, susulan pengumuman barisan Kabinet baharu pada Selasa.
Presidennya, Jacob Lee Chor Kok berkata pelaksanaan dasar yang konsisten, komunikasi yang jelas serta penyelarasan merentas kementerian adalah faktor kritikal bagi mengekalkan keyakinan pelabur, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“Persekitaran percukaian yang kompetitif dan boleh diramal amat penting untuk menyokong pelaburan semula, penaiktarafan industri serta transformasi sektor pembuatan secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet semalam yang antara lain menyaksikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Menteri Ekonomi.
Menurut Chor Kok, tumpuan juga perlu diberikan kepada usaha mengurangkan kos keseluruhan menjalankan perniagaan, khususnya dalam keadaan industri kini berdepan tekanan kos yang berterusan.
Beliau berkata kos tenaga, logistik dan pematuhan peraturan, termasuk kesan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) baru-baru ini, perlu dinilai secara teliti kerana ia memberi kesan langsung kepada kos operasi dan aliran tunai, terutama kepada pengilang serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Dalam pada itu, Chor Kok menegaskan penambahbaikan persekitaran perniagaan melalui peraturan yang lebih jelas, proses kelulusan yang lebih cekap dan penyelarasan antara agensi yang lebih berkesan akan membantu meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta kecekapan operasi.
Mengulas mengenai Akta Komitmen Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (Akta ILTIZAM) yang berkuat kuasa pada 1 Disember 2025, Chor Kok menyifatkannya sebagai langkah positif ke arah memperkukuh kecekapan perkhidmatan dan disiplin kawal selia dalam sektor awam.
“Tumpuan akta ini terhadap semakan instrumen kawal selia dan pengurangan beban peraturan menyediakan rangka kerja yang lebih tersusun dan bertanggungjawab. Namun, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang konsisten, pengukuran prestasi yang telus serta hasil yang benar-benar memberi manfaat kepada perniagaan di peringkat akar umbi,” katanya.
FMM menegaskan kesediaannya untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan agenda pertumbuhan industri dan daya saing negara dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan. - DagangNews.com








