KUALA LUMPUR 30 Jan - Bursa Malaysia Bhd menyasarkan prestasi kewangan yang mampan pada 2026 dengan pulangan ke atas ekuiti (ROE) dalam julat 27% hingga 30%, selari dengan tahap yang dicapai pada 2025, di samping pertumbuhan hasil bukan dagangan melebihi 10%.
Bagaimanapun, penganalisis menyifatkan unjuran tersebut terlalu konservatif atau berhati-hati kerana yakin ia mampu melepasi ssaran berdasarkan petunjuk semasa.
RHB Research mengunjurkan ROE Bursa Malaysia 2026F lebih tinggi pada 34.5%, melepasi sasaran KPI Bursa.
Katanya, perbezaan ini didorong oleh pandangan yang lebih optimistik terhadap nilai purata harian sekuriti (SADV), selaras dengan jangkaan peningkatan kecairan pasaran.
"Sejajar dengan jangkaan tersebut, penilaian pasaran turut disemak dengan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PE) dinaikkan kepada 27 kali berbanding 22.5 kali sebelum ini. Ini membawa kepada harga sasaran baharu RM9.95, termasuk premium ESG sebanyak 6%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sementara itu MBSB Research berkata, aktiviti dagangan menunjukkan momentum yang memberangsangkan pada Januari 2026 apabila purata nilai dagangan harian (ADV) mencecah RM3.15 bilion, lebih tinggi berbanding FY25 dan setara dengan paras FY24.
Peningkatan ini katanya, mencerminkan pemulihan sentimen pelabur serta minat yang semakin kukuh dalam pasaran saham tempatan.
"Dari segi panduan kewangan, Bursa Malaysia menyasarkan pulangan ke atas ekuiti (ROE) antara 27% hingga 30% bagi FY26, berbanding 30% yang dicatatkan pada FY25.
"Sasaran ini dilihat konservatif, mengambil kira perbelanjaan modal (capex) yang dijangka lebih tinggi serta pertumbuhan perbelanjaan operasi (OPEX) bagi menyokong inisiatif strategik dan keperluan operasi," katanya.
MBSB menambah, seiring dengan perkembangan tersebut, anggaran pendapatan bagi FY26 dan FY27 telah disemak semula, masing-masing diselaraskan sebanyak -0.2% dan +4.9%.
Semakan ini mencerminkan jangkaan pertumbuhan yang lebih berhati-hati dalam jangka pendek, namun dengan prospek yang lebih kukuh bagi tempoh seterusnya.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, berdasarkan aktiviti dagangan pada Januari, KPI ROE tersebut berkemungkinan bersifat konservatif.
"Julat atas KPI ROE Bursa (30%) membayangkan pendapatan mendatar berbanding anggaran ROE kami sebanyak 32%," katanya.
Sementara itu Maybank IB turut mengekalkan unjuran ADV ekuiti masing-masing pada RM3 bilion bagi FY26E dan RM3.2 bilion bagi FY27E.
ADV bagi Januari direkodkan pada MYR3.3 bilion, yang dilihat memberikan potensi peningkatan kepada unjuran keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) bagi FY26E.
Menurut Maybank IB, unjuran tersebut telah mengambil kira pelaksanaan yuran kawal selia baharu oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan kos maksimum dianggarkan RM35 juta pada 2026, RM40 juta pada 2027 dan RM45 juta pada 2028.
Bagaimanapun, impak tersebut dijangka diimbangi melalui peningkatan yuran penyenaraian tahunan oleh Bursa Malaysia.
“Bursa juga sedang meneroka pembiayaan daripada Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) bagi membantu mengurangkan kesan kos kawal selia baharu ini,” menurut nota penyelidikan itu. - DagangNews.com








