KUALA LUMPUR 21 Okt – Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion bagi membina tembok keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, projek tersebut akan dilaksanakan di sepanjang sempadan dari Tumpat hingga Tanah Merah seperti yang dimaklumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melawat kawasan sempadan.
“Perkara itu dibincangkan dan pembinaannya akan menggunakan peruntukan tambahan. Ketika ini, sedang dalam proses sebut harga atau tender,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.
Menurutnya, tembok keselamatan berkenaan bukan sahaja berperanan membendung kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, malah akan turut berfungsi sebagai benteng banjir bagi kawasan terjejas di sepanjang Sungai Golok.
Pada 19 Oktober lalu, BERNAMA melaporkan penduduk Rantau Panjang berharap tembok “dua dalam satu” itu bukan sahaja dapat melindungi sempadan negara daripada pencerobohan, tetapi juga mampu menahan limpahan air Sungai Golok setiap kali musim tengkujuh yang sering mengancam kediaman dan perniagaan penduduk setempat.
Sebelum ini pada 13 Oktober, Mohd Yusoff dilaporkan berkata, pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan keperluan strategik untuk membendung penyeludupan dan mempertahankan kedaulatan negara di sempadan Kelantan-Thailand.
Beliau berkata, bentuk muka bumi Sungai Golok yang sempit dan cetek menjadikan kawalan keselamatan secara konvensional sukar dilaksanakan walaupun dengan bantuan teknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), dron dan kamera litar tertutup (CCTV). - BERNAMA








