KUALA LUMPUR 18 Mac — Walaupun pelarasan turun nilai inventori hampir berakhir, isu kadar tukaran asing (forex) kekal menjadi risiko utama yang boleh melemahkan prestasi D&O Green Technologies Berhad.
Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), kumpulan itu namun memuktamadkan kira-kira 31% inventori dalam tempoh enam bulan lalu sebagai sebahagian daripada penyusunan semula strategik.
Justeru, firma penyelidikan itu menilai kumpulan rumusan teknologi tersebut kini berada di peringkat akhir pelarasan dan akan ada pengiktirafan sekali sahaja bagi jualan stok keselamatan.
"Selain itu, kami difahamkan terdapat pembalikan semula secara beransur-ansur yang dijangka mengambil masa hingga lima tahun,” katanya selepas menyertai taklimat penganalisis baru-baru ini.
Menurut PublicInvest, perkembangan positif itu memberikan kelegaan kepada pelabur D&O Green Technologies kerana menunjukkan tekanan utama ke atas kumpulan berkemungkinan telah memuncak.
Dari segi operasi, produk SpicePlus dijangka menjadi pemacu pertumbuhan, menggantikan barisan produk lain seperti DomiLED, Power DomiLED dan Mini DomiLED berikutan reka bentuk lebih baik.
Bagaimanapun jelas firma penyelidikan berkenaan, prestasi jualan kumpulan itu dijangka terus dipengaruhi sebahagian besarnya oleh faktor ketidaktentuan kadar forex dalam tempoh terdekat.
"Sehubungan itu, dalam usaha mengurangkan kebergantungan tinggi kepada pasaran China yang meliputi 45% hasil, D&O kini memperluaskan pasaran ke India dan Korea Selatan," kata PublicInvest.
Bagi tahun kewangan 2026 tambahnya, kumpulan itu menyasarkan jualan sekitar 1.2 bilion unit setiap suku merentas semua segmen produk, yang dijangka menyumbang pertumbuhan jualan sekitar 8%.

Pertumbuhan ini turut disokong pelupusan stok keselamatan bernilai RM87 juta, selaras dengan dasar baharu inventori untuk mengurangkan tempoh pusing ganti daripada empat bulan kepada 2.5 bulan.
Selain itu, segmen LED pintar dijangka berkembang ketara daripada 8% sumbangan jualan pada FY25 kepada sekitar 15% hingga 18% pada FY26, didorong permintaan tinggi daripada pelanggan automotif.
"Ini termasuk BMW serta pelanggan baharu di China dan Korea Selatan, manakala sumbangan jualan daripada pembekal kepada BMW naik kepada 15% hingga 18% berbanding 9% sebelum ini," katanya.
Secara keseluruhan, D&O Green Technologies dijangka mencatat margin bersih yang dinormalisasi sekitar 4% hingga 5% bagi FY26, dengan peningkatan bermusim lebih kukuh bermula suku ketiga.
Dalam perkembangan lain, pembangunan wafer cip IC dalaman berada di landasan untuk siap menjelang tempoh 3QFY26, diikuti proses pembungkusan di Taiwan serta ujian kebolehpercayaan pada 1HFY27.
PublicInvest berkata, projek reka bentuk cip dalaman itu berpotensi mengurangkan kos pengeluaran LED pintar dan menarik permintaan yang dinilai lebih tinggi daripada pengeluar automotif global.
"Bagi perniagaan modul PCBA, ia mempercepatkan pemindahan teknologi dengan kadar penggunaan kapasiti semasa 70% dan dijangka mencapai titik pulang modal menjelang suku kedua FY26," jelasnya.
Sementara itu, kenaikan harga minyak mentah global susulan konflik di Timur Tengah berpotensi menjadi pemangkin permintaan kenderaan elektrik (EV), dan memberikannya manfaat tidak langsung.
Oleh itu, ia mengekalkan penarafan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) 54 sen, berdasarkan gandaan harga-keuntungan 22 kali bagi unjuran pendapatan sesaham FY26. - DagangNews.com








