Risiko premium global meningkat, Selat Hormuz jadi ‘pemutus litar’ pasaran — Franklin Templeton | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Risiko premium global meningkat, Selat Hormuz jadi ‘pemutus litar’ pasaran — Franklin Templeton

BEBERAPA kapal tangki berlabuh di Terminal Kontena Khor Fakkan di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan penutupan Selat Hormuz. - Foto AFP
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Mac – Serangan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran bermula 28 Februari 2026 berpotensi mencetuskan isu ketidaktentuan berpanjangan dalam pasaran global. 


Menurut Franklin Templeton Instutute, misi ketenteraan di bawah 'Operation Epic Fury' itu turut menjadikan Selat Hormuz dikenal pasti sebagai ‘pemutus litar’ utama kepada ekonomi dunia.


Impak awal kepada pasaran antarabangsa bukan tertumpu kepada kerosakan ekonomi fizikal, sebaliknya kepada penilaian semula risiko geopolitik semasa yang merentasi kadar faedah, ekuiti dan emas.


"Gabungan serangan tentera serta mesej terbuka perubahan rejim meningkatkan kebarangkalian kempen berpanjangan, dan menimbulkan persoalan mengenai konflik ini," kata analisis institut tersebut.


Justeru, mereka menjangka serangan berkenaan kemungkinan hanya kekal sama ada sebagai kejutan yang bersifat jangka pendek atau berkembang menjadi episod risiko lebih berlarutan lebih panjang.


Franklin Templeton turut menegaskan, kira-kira 20% penghantaran petroleum cecair global perlu melalui Selat Hormuz, menjadikannya sebagai laluan kritikal kepada bekalan tenaga dunia sendiri. 


Walaupun penutupan penuh dianggap ekstrem dan berisiko tinggi kepada Tehran, gangguan separa seperti kelewatan transit, atau rampasan kapal, sudah memadai untuk mengetatkan 'bekalan efektif'. 


"Selain itu, operator perkapalan perlu berdepan dengan serangan dron atau peningkatan premium insurans perang yang akan menambah kos logistik dan membebankan dari sudut kewangan," katanya.


Di samping minyak mentah ujar institut penyelidikan antarabangsa tersebut, sekitar satu perlima perdagangan gas asli cecair (LNG) global turut melalui laluan sama, khususnya eksport Qatar. 


Keadaan ini jelas Franklin Templeton, menjadikan isu keselamatan pelayaran selat pendek berkenaan bukan sekadar cerita minyak tetapi juga perbelanjaan penghantaran dan akses pasaran gas global.


Firma itu menyatakan, penilaian semula premium insurans perang, yang meningkat sehingga 50% bagi sesetengah trip, boleh memberikan kesan harga lebih cepat berbanding gangguan fizikal sebenar.


"Satu lagi kebimbangan utama ialah ketiadaan rasmi mengenai struktur pasca-rejim di Iran, berikutan tiada gabungan pengganti sah dan diterima meluas meningkatkan risiko perpecahan dalaman," katanya.


Situasi tersebut jelasnya, mewujudkan kekosongan tadbir urus, senario yang dibimbangi negara rantau Asia Barat sendiri, manakala dari sudut pasaran silang aset, ia menjangka ada tindak balas awal.


Kata Franklin Templeton, perkembangan berkenaan mungkin mengakibatkan hasil Perbendaharaan AS dan ekuiti cenderung untuk menurun, manakala emas mendapat manfaat besar sebagai aset lindung nilai.


Dolar AS pula kata analisis institut tersebut, tidak semestinya mengukuh secara automatik, manakala urus niaga mata wang kripto di pasaran dilihat lebih bergerak seiring aset yang berisiko tinggi.


"Kami turut menegaskan konflik ini tidak perlu mengubah pertimbangan strategik China terhadap Taiwan, memandangkan keputusan Beijing dipandu pertimbangan dalaman jangka panjang," jelasnya.


Untuk tempoh terdekat, ia menyatakan kecenderungan kepada pendedahan sektor tenaga, perkapalan dan insurans yang meraih manfaat kenaikan tambang dan premium risiko perang, serta sektor pertahanan.


Sebaliknya, Franklin Templeton berhati-hati terhadap pasaran sedang pesat membangun yang bergantung kepada import tenaga serta sektor sensitif kos bahan api dan logistik seperti syarikat penerbangan.


Bagi strategi perlindungan tambahnya, ia lebih cenderung kepada pendedahan terpilih emas dan struktur lindung nilai berkaitan harga minyak berbanding jualan pendek ekuiti secara meluas.


Sehubungan itu, dengan tempoh konflik di Teluk Parsi yang panjang serta dinamik penghantaran dan insurans diramal menjadi penentu utama hala tuju pasaran seterusnya.  - DagangNews.com