KUALA LUMPUR 25 Feb – Pengukuhan ringgit berbanding dolar Taiwan (TWD) mula memberi tekanan kepada prestasi Frontken Corporation Berhad apabila keputusan suku keempat FY25 lebih sederhana.
Menurut penganalisis, situasi berkenaan sekali gus mendorong pelarasan unjuran, walaupun prospek jangka panjang dinilai adalah positif, namun mereka masih mengekalkan saranan ‘beli’ saham kumpulan itu.
Antaranya, Maybank Investment Bank yang turut menetapkan harga sasaran (TP) tidak berubah iaitu RM5.19 sesaham, yang berasaskan jangkaan 43 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) pada FY26.
"Kami mengambil kira pemulihan segmen minyak dan gas (O&G) serta permintaan secara berterusan yang berkaitan kecerdasan buatan (AI), selain keuntungan teras Frontken bagi FY25," jelas firma itu.
Ia merujuk peningkatan 23% tahun ke tahun (YoY) keuntungan kumpulan itu kepada RM161 juta, dengan kebanyakannya susulan kesan pertukaran mata wang asing (forex), serta menepati 98% unjuran mereka.
Hasil kata Maybank IB, naik 7% YoY kepada RM608 juta, dipacu pertumbuhan kukuh operasi Taiwan (+17%), walaupun diimbangi penyusutan di Malaysia (-14%), Singapura (-18%) dan Filipina (-3%).
Margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pula berkembang 1.4 mata peratusan kepada 35.1%, manakala margin bersih teras meningkat kepada 26.5% hasil campuran produk lebih menguntungkan.
"Secara suku ke suku (QoQ), kami namun mendapati keuntungan teras susut 3% kepada RM39 juta akibat pengukuhan ringgit berbanding TWD serta prestasi segmen yang lebih perlahan," tambah firma itu.
Artikel berkaitan: Frontken kaut untung RM168.5 juta bagi FY25, tertinggi dalam sejarah didorong sektor semikonduktor di Taiwan
Bagaimanapun, Maybank IB tetap optimis yang segmen O&G akan pulih secara bermakna sepanjang 2026, manakala barisan baharu kilang Frontken iaitu Plant 2 (P2) dijangka beroperasi menjelang 3Q26.
Syarikat berkenaan jelasnya, turut menilai langkah perluasan kapasiti tambahan termasuk usaha pengambilalihan tanah bagi memenuhi permintaan produk yang lebih kukuh daripada jangkaan awal.
Sementara itu, Phillip Capital Research menyatakan keuntungan bersih teras bagi FY25 sebanyak RM167 juta (+23% YoY) adalah di bawah jangkaan mereka walaupun selari dengan ramalan konsensus.
"Prestasi 4QFY25 lebih lemah apabila hasil dan keuntungan teras masing-masing turun 3% QoQ, terutamanya disebabkan ringgit yang mengukuh 6% berbanding TWD," kata firma penyelidikan itu.
Keadaan negatif tersebut jelasnya, sekali gus mengurangkan pendapatan operasi Frontken di Taiwan sebanyak 3%, selain perkembangan aktiviti O&G yang didapati lebih perlahan di Malaysia sendiri.
Bagi FY25, hasil dan keuntungan teras masing-masing naik 7% dan 23% YoY, dipacu operasi Taiwan dengan pertumbuhan hasil dan EBIT pula sebanyak 17% dan 21%, disokong permintaan berkaitan AI.
Margin perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan ini bertambah baik kepada 40.7% berikutan leverage operasi yang kukuh dan peralihan kepada nod lebih maju.
"Namun, susulan pengukuhan ringgit berterusan, purata +3% setakat tahun ini berbanding TWD, kami menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 hingga FY27 sebanyak 5%," kata Phillip Capital.
Firma itu juga menyemak turun TP kepada RM4.95 daripada RM5.20 sebelum ini, tetapi menjangkakan pertumbuhan jangka panjang kekal utuh, disokong oleh trend permintaan nod maju serta sektor AI.
Ia berpandangan asas perniagaan Frontken kekal teguh kepada sektor semikonduktor berkaitan AI dan pemulihan O&G, namun pergerakan mata wang menjadi risiko tempoh terdekat. - DagangNews.com








