Frontken kaut untung RM168.5 juta bagi FY25, tertinggi dalam sejarah didorong sektor semikonduktor di Taiwan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Frontken kaut untung RM168.5 juta bagi FY25, tertinggi dalam sejarah didorong sektor semikonduktor di Taiwan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 FebFrontken Corporation Berhad mencatatkan keuntungan bersih paling tinggi dalam sejarah syarikat iaitu RM168.5 juta bagi FY25, naik 12% berbanding kira-kira RM151.1 juta pada FY24. 


Sementara bagi bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, kumpulan itu memperoleh keuntungan bersih RM47.7 juta, meningkat 13% daripada hanya RM42.3 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya. 


Peningkatan prestasi ini didorong terutamanya oleh hasil tinggi dan kawalan kos, dengan sumbangan ketara menerusi anak syarikatnya di Taiwan yang menyaksikan lonjakan permintaan dalam sektor semikonduktor.


"Pendapatan tahunan kumpulan turut meningkat 7% kepada RM607.8 juta bagi tahun 2025 berbanding RM569.2 juta pada tahun sebelumnya," kata Frontken dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Tambahnya, hasil daripada anak syarikat di Taiwan melonjak kira-kira 20% bagi tempoh suku keempat FY25 berikutan peningkatan volum tempahan daripada pelanggan dalam pelbagai produk semikonduktor.


Dari segi kedudukan kewangan, syarikat tersebut jelasnya, berupaya mengekalkan kedudukan yang kukuh dengan aliran tunai dan baki bank berjumlah RM366.2 juta setakat rekod penghujung tahun lepas.


Frontken katanya, sudah membayar dividen interim pertama sebanyak 2.0 sen sesaham pada 7 Oktober 2025, dan melangkah ke hadapan, pengurusannya kekal optimis terhadap industri semikonduktor global.


"Kami yakin dengan potensi pertumbuhan jangka panjang didorong oleh permintaan secara berterusan dalam segmen kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC)," katanya lagi. 


Syarikat itu jua sedang dalam proses memperluaska kapasiti di Taiwan untuk menyokong permintaan pelanggan yang semakin meningkat, selain terus meneroka peluang pasaran baharu di rantau lain.


Bagi segmen minyak dan gas, kumpulan berkenaan menjangkakan pertumbuhan volum tempahan yang stabil sepanjang tahun 2026 disokong oleh pelbagai kontrak sedia ada. - DagangNews.com