RichTech Digital catat untung bersih hampir RM6 juta pada FY24 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RichTech Digital catat untung bersih hampir RM6 juta pada FY24

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Feb — RichTech Digital Berhad mencatatkan keuntungan bersih belum diaudit sebanyak RM5.97 juta bagi tahun kewangan syarikat itu yang berakhir 31 Disember 2024 (FY24).

 

Penyedia tambah nilai elektronik dan perkhidmatan platform pembayaran bil yang ditubuhkan pada 2010 itu berkata, pendapatannya untuk FY24 pula merekodkan sebanyak RM9.19 juta.

 

Bagi tempoh suku keempat 2024, RichTech melaporkan keuntungan bersihnya berjumlah RM940,000 dengan perolehan hasil yang mencecah RM1.77 juta.

 

Bagaimanapun memandangkan ini adalah laporan kewangan interim pertama syarikat berikutan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, maka tiada angka perbandingan tersedia.

 

Pengarah Urusannya, Lee Teik Keong berkata, sambutan menggalakkan terhadap tawaran awam permulaan (IPO), yang terlebih langgan sebanyak 245.42 kali, adalah bukti kepercayaan dan keyakinan pelabur terhadap visi dan potensi jangka panjang RichTech.

 

Syarikat tersebut juga kekal komited untuk meningkatkan penawaran perkhidmatannya, meluaskan jangkauan pasaran malah berusaha bagi memacu penggunaan platform SRS yang lebih luas.

 

"Melalui perkongsian strategik, kami menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri tambah nilai dan pembayaran bil elektronik sambil terus menyampaikan nilai jangka panjang kepada pemegang kepentingan," katanya.

 

Industri perkhidmatan tambah nilai elektronik dan pembayaran bil di Malaysia secara umum telah mengalami lonjakan memberangsangkan, apabila meningkat daripada RM438.9 juta pada 2019 kepada RM714.3 juta pada 2023.

 

Ia mewakili kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) sebanyak 12.9 peratus malahan industri ini diunjurkan bakal terus berkembang pada CAGR sebanyak 11.5 peratus, mencecah anggaran RM1.0 bilion menjelang 2026.

 

Potensi positif tersebut didorong oleh trend peningkatan penggunaan penyelesaian pembayaran digital, transaksi tanpa tunai dan e-dagang dalam kalangan rakyat susulan pasca pandemik Covid-19.

 

RichTech mengukuhkan kehadiran dalam industri tambah nilai elektronik dan pembayaran bil dengan meningkatkan platform SRS selain memperluaskan jangkauan pasaran dan memacu penggunaan perkhidmatannya lagi. - DagangNews.com