KUALA LUMPUR 24 Mac — Penyusutan margin biodiesel susulan kenaikan kos bahan mentah serta keperluan mengimbangi dasar tenaga Indonesia muncul sebagai isu kritikal dalam sektor perladangan.
Menurut RHB Research, kenaikan harga metanol iaitu komponen utama dalam penghasilan biodiesel sehingga hampir 30% sejak konflik di Asia Barat berpotensi menekan margin pemain industri itu.
Firma penyelidikan itu menambah, perkembangan di rantau berkenaan sekali gus dikhuatiri menaikkan kemungkinan semakan semula ke atas formula harga biodiesel atau kadar levi eksport minyak sawit.
"Selepas sesi libat urus bersama-sama Persatuan Pengeluar Biodiesel Indonesia baru-baru ini, kami mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor perladangan," katanya dalam analisis hari ini.
Berdasarkan perkembangan itu, RHB Research mengandaikan harga minyak sawit mentah (MSM) pada RM4,250 setiap tan bagi 2026, disebabkan pelaksanaan awal mandat biodiesel B45 atau B50 di Indonesia.
Negara itu kini bergantung kepada beberapa faktor termasuk ujian automotif dan enjin kereta api, ketersediaan dana, kapasiti pengeluaran, bekalan diesel domestik serta perubahan mekanisme harga.
Dari sudut pembiayaan jelasnya, pada jurang harga AS$11 (RM43) setong ketika ini, dana adalah mencukupi untuk menyokong pelaksanaan B50, walaupun tanpa lebihan dana daripada tahun sebelumnya.

"Kapasiti biodiesel Indonesia kini 22.05 juta kiloliter setahun juga dilihat cukup, dengan kadar penggunaan dijangka 82% bagi B45 dan 91% bagi B50 berbanding 71% pada 2025," kata RHB Research.
Bagaimanapun, satu lagi pertimbangan penting adalah operasi loji penapisan baharu milik Pertamina di Balikpapan yang kapasiti 360,000 tong sehari, dengan diesel merangkumi 43% daripada output.
Peningkatan mandat biodiesel kepada B50 berpotensi mengurangkan kadar penggunaan loji, dan memaksa kerajaan Indonesia mengimbangi pengurangan import diesel dan memastikan pulangan pelaburan projek.
Negara itu jelas RHB Research, merancang menghentikan permit import diesel bermula 2HFY26, kerana kombinasi diesel tempatan dan biodiesel B40 sebenarnya sudah cukup memenuhi permintaan domestik.
"Justeru, sebarang peningkatan mandat biodiesel perlu mengambil kira implikasi terhadap rantaian bekalan tenaga dan kecekapan aset penapisan negara berkenaan sendiri," tambah firma tersebut.
Dalam pada itu, ia turut tidak menolak kemungkinan semakan formula harga biodiesel daripada model semasa berasaskan harga tetap MSM kepada mekanisme dinamik yang mencerminkan kos input sebenar.
RHB Research juga melihat potensi pengurangan levi eksport minyak sawit sekiranya jurang minyak sawit kekal rendah dan dana biodiesel mencapai paras penampan antara tempoh enam hingga 12 bulan.
Ia menyenaraikan beberapa saham pilihan utama sektor ini termasuk Johor Plantations Group, Sarawak Oil Palms, IOI Corp, PP London Sumatra Indonesia, SD Guthrie dan First Resources. - DagangNews.com








