KUALA LUMPUR 13 Feb — RHB Research menaikkan unjuran pendapatan Johor Plantations Group (JPG) bagi FY26F dan FY27F, masing-masing sebanyak 5.6% dan 13.5%, susulan jangkaan prestasi operasi yang lebih kukuh.
Selain itu, firma penyelidikan itu juga memperkenalkan unjuran baharu bagi FY28.
"Semakan menaik itu dibuat selepas mengambil kira perbelanjaan faedah yang lebih rendah berikutan kedudukan tunai yang lebih baik, peningkatan pendapatan faedah serta jangkaan sumbangan daripada operasi hiliran, termasuk projek penapisan bersepadu yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Seiring semakan tersebut, saranan BELI dikekalkan dengan harga sasaran (TP) baharu RM1.90 sesaham.
Harga sasaran itu disandarkan kepada penilaian harga kepada pendapatan (P/E) 15 kali bagi FY2026F yang tidak berubah, iaitu di bahagian atas julat rakan setara sektor perladangan antara 11 hingga 15 kali.
Menurut firma berkenaan, penilaian premium itu adalah wajar memandangkan profil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) JPG yang kukuh, yang membolehkannya menikmati harga jualan purata lebih tinggi serta daya tahan pendapatan yang lebih stabil dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
RHB berkata, prestasi pendapatan FY25 JPG mengatasi jangkaan pihaknya dan pasaran.
Bagi suku keempat FY25 (4Q25), keuntungan teras kumpulan meningkat 1.2% suku ke suku dan 9.8% tahun ke tahun, sekali gus menjadikan keuntungan teras penuh tahun mencecah RM345 juta, melonjak 30% berbanding FY24.
Prestasi tersebut mengatasi jangkaan firma penyelidikan dan konsensus pasaran, dengan pencapaian itu mewakili sekitar 108% hingga 116% daripada unjuran setahun penuh.
Penyimpangan positif itu sebahagian besarnya disumbang oleh perbelanjaan faedah yang lebih rendah, kadar cukai efektif yang lebih baik daripada jangkaan serta pendapatan faedah yang lebih tinggi.
Seiring prestasi kukuh itu, JPG turut mengisytiharkan dividen sesaham (DPS) sebanyak 3 sen bagi 4Q25, menjadikan jumlah dividen FY25 sebanyak 7 sen sesaham, bersamaan nisbah pembayaran teras sekitar 50%.
Bagi pengeluaran tandan buah segar (FFB), RHB mengekalkan sasaran pertumbuhan FFB dalaman JPG pada -1% hingga -2.3% YoY bagi FY26-27, sejajar dengan strategi pengurusan tanaman semula dan optimisasi hasil ladang.
Katanya, FFB 4Q25 susut 4% berbanding suku sebelumnya, menjadikan jumlah pengeluaran FFB bagi FY25 kekal mendatar.
Bagi FY26, pihak pengurusan menjangkakan pengeluaran FFB akan kekal stabil susulan program penanaman semula dipercepatkan seluas 3,600 hektar berbanding 1,400 hektar pada FY25.
Hasilnya, pada Januari 2026, pengeluaran FFB mencatat peningkatan 3.7%.
Walaupun pengeluaran dalaman mendatar, dengan pembelian FFB luaran yang lebih tinggi, JPG menyasarkan pertumbuhan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dalam julat satu digit bagi FY26.
Mengenai projek kilang penapisan bersepadu JPG ia kini berada di landasan untuk siap lebih awal pada awal suku kedua FY26 (2Q26), berbanding jadual asal pada 3Q26, meskipun perbelanjaan modal meningkat kepada RM600 juta, naik 30% daripada anggaran asal.
Pengurusan JPG menjangkakan sumbangan hasil daripada operasi kilang bersepadu ini akan bermula 3Q26, dengan keuntungan dijangka mencapai paras pulang modal.
Secara konservatif, RHB mengunjurkan sumbangan EBIT daripada projek ini sebanyak RM50-90 juta bagi FY26-27, jauh lebih rendah daripada sasaran yang ditetapkan oleh pengurusan. -DagangNews.com








