KUALA LUMPUR 18 Mei – Kenaikan kos bahan api susulan konflik di Timur Tengah mula membimbangkan pasaran apabila dijangka memberi tekanan lebih besar kepada prestasi Westports Holdings Berhad.
Menurut RHB Research, operator Pelabuhan Klang, Selangor itu dikhuatiri terjejas ketara dalam suku-suku yang akan datang, sekiranya isu ketegangan di rantau tersebut masih lagi berlarutan dengan lebih lama.
Tambah firma tersebut, keputusan kewangan bagi suku pertama 2026 (1QFY26) hanya mencerminkan impak kenaikan kos bahan api itu selama sebulan, manakala kesan penuh dijangka lebih tinggi selepas ini.
"Bagaimanapun, kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap Westports dengan harga sasaran (TP) RM6.55 sesaham, menawarkan potensi kenaikan sekitar 13% selain hasil dividen FY27 kira-kira 5%," katanya.
Justeru, walaupun kos bahan api meningkat, RHB Research percaya sebahagian besar risiko daripada konflik geopolitik sudah pun diambil kira dalam penilaian harga saham semasa kumpulan berkenaan.
Bagi 1QFY26, keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) kumpulan itu melonjak kira-kira 53% tahun ke tahun (YoY) kepada RM341 juta, disokong kenaikan tarif secara berperingkat.
Namun, firma penyelidikan tersebut menjelaskan kos bahan api Westports meningkat 17% dalam tempoh tersebut berikutan lonjakan 33% harga kadar Mean of Platts Singapore (MOPS) kepada RM484 setong.

"Kos bahan api kini menyumbang 19% daripada keseluruhan perbelanjaan operasi syarikat ini, dengan pengendalian kontena mencatatkan 2.7 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEUs)," kata RHB Research.
Jumlah itu susut 1.1% tahun ke tahun (YoY) akibat gangguan kesesakan pelabuhan pada Januari 2026, namun isu tersebut diselesaikan sepenuhnya, dengan kembali meningkat pada April 2026 sebanyak 3%.
Kadar penggunaan kawasan simpanan kontena Westports juga kembali stabil sekitar 80%, dan menjangka penggunaan bahan api jatuh 10% menjelang 4Q26 selepas pengoperasian 60 trak elektrik pada 3Q26.
Selain itu ujar RHB Research, kumpulan tersebut dikecualikan kerajaan daripada mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA), sekali gus mengurangkan risiko peningkatan kos elektrik secara langsung.
"Berdasarkan kepada situasi itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pengendalian kontena sebanyak 4.5% bagi FY26, sejajar panduan syarikat yang menyasarkan pertumbuhan rendah satu digit," katanya.
Saham Westports kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sekitar 15.9 kali dan masih berpotensi meningkat sekiranya kos bahan api diserapkan pelanggan pada masa depan. - DagangNews.com








