RHB Research: Kejatuhan mendadak harga koko dunia buka peluang pemulihan semula saham Guan Chong | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research: Kejatuhan mendadak harga koko dunia buka peluang pemulihan semula saham Guan Chong

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 April – Kejatuhan mendadak harga biji koko di pasaran dunia selepas lonjakan ekstrem pada tahun lalu, mula mengubah landskap industri coklat, menurut RHB Research dalam analisisnya.


Perkembangan positif tersebut ujar firma penyelidikan berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada pemulihan permintaan global dan penarafan semula saham Guan Chong Berhad sendiri selepas ini.


Berdasarkan kepada situasi semasa itu, ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas syarikat tersebut dengan harga sasaran (TP) RM1.30, mencerminkan potensi kenaikan 55% dan hasil dividen sekitar 5%.


"Prospek tahun kewangan 2026 Guan Chong dijangka lebih positif, disokong persekitaran harga bahan mentah stabil serta struktur pasaran yang memihak kepada pemain pemprosesan," kata RHB Research.


Pemulihan ini didorong oleh faktor peningkatan diskaun biji koko, kadar penggunaan kapasiti lebih tinggi, margin operasi yang sihat serta penjimatan kos faedah semakin ketara ke atas pemain industri.


Tahun lalu juga menyaksikan 'reset' permintaan apabila pengisaran koko global merosot 4.3% susulan kenaikan mendadak harga, mendorong pengeluar coklat menukar formulasi produk kepada lebih murah.


Bagaimanapun ujar RHB Research, bekalan koko di pasaran antarabangsa kemudian didapati meningkat balik kira-kira 8.4%, sekali gus mengubah situasi defisit kepada lebihan stok dengan amat ketara.


"Memasuki 2026, tanda-tanda pemulihan semakin jelas dengan pertumbuhan pengisaran di benua Asia meningkat 13% suku ke suku, manakala Eropah mencatat kenaikan 7% daripada asas rendah," jelasnya.



Guan Chong_DagangNews



Harga biji koko yang susut 75% daripada paras tertinggi kepada AS$4,000 (RM15,860) setiap tan juga menggalakkan pengeluar kembali kepada resipi asal yang menggunakan lebih banyak kandungan koko.


Pada masa sama, kadar penggunaan kapasiti Guan Chong dijangka meningkat daripada 80% pada separuh pertama 2026 kepada 90% pada separuh kedua, disokong jualan terkunci melebihi 50% untuk tahun ini.


Selain itu kata RHB Research, faktor kos turut memihak kepada syarikat apabila harga bahan mentah rendah dijangka mengurangkan kos faedah tahunan sehingga 40%, lebih tinggi daripada jangkaan awal.


"Keadaan ini memberi potensi peningkatan kepada keuntungan, dan aliran tunai operasi juga kekal kukuh pada RM1.17 bilion, manakala nisbah hutang bersih bertambah baik kepada 1.35 kali," ujarnya.


Situasi kali ini mencerminkan tekanan modal kerja semakin reda, dan dari segi pengembangan, projek perluasan kapasiti di Ivory Coast dengan tambahan 60,000 tan setahun kekal mengikut jadual asal.


Projek kilang berkenaan jelas RHB Research, dijangka siap pada suku ketiga 2026, yang akan menjadi pemangkin pertumbuhan baharu dalam tempoh jangka panjang kepada Guan Chong bermula tahun depan.


Justeru firma penyelidikan itu turut menaikkan unjuran dividen sesaham kepada sekurang-kurangnya 4.5 sen bagi FY26, berbanding anggaran sebelumnya, didorong penjanaan tunai yang lebih stabil.


"Walaupun berdepan risiko turun naik harga bahan mentah dan permintaan global, Guan Chong berada dalam kedudukan lebih kukuh untuk memanfaatkan pemulihan industri," katanya. - DagangNews.com