RHB Research naikkan unjuran pendapatan BM Greentech 2027–2029, disokong tiga segmen utama pertumbuhan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research naikkan unjuran pendapatan BM Greentech 2027–2029, disokong tiga segmen utama pertumbuhan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Jun – Prospek BM Greentech Berhad diyakini terus positif dengan tiga segmen utama pertumbuhan iaitu bio-tenaga, rawatan air dan tenaga solar yang dijangka menjadi penyumbang utama peningkatan pendapatan Kumpulan, kata RHB Research.

 

Oleh itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan “Beli” terhadap BM Greentech dengan harga sasaran RM2.01 sesaham, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 16.8% berbanding harga semasa.

 

Firma itu berkata walaupun harga saham syarikat telah mencatat kenaikan ketara kebelakangan ini, masih terdapat ruang peningkatan berdasarkan asas perniagaan yang semakin kukuh dari tiga segmen tersebut.

 

“Antara faktor utama yang menyokong prospek ialah jangkaan harga minyak sawit mentah (CPO) yang kekal tinggi dengan unjuran harga RM4,400 setan bagi 2026 dan RM4,300 setan bagi 2027, dipacu oleh pelaksanaan mandat biodiesel B50 di Indonesia yang meningkatkan permintaan minyak sawit.

 

“Selain itu, risiko cuaca seperti fenomena El Nino turut berpotensi menjejaskan pengeluaran yang secara tidak langsung dapat mengekalkan harga CPO pada paras tinggi.

 

“Keadaan ini memberi manfaat kepada pengeluar peralatan industri sawit kerana keuntungan kilang sawit yang lebih tinggi lazimnya mendorong peningkatan perbelanjaan modal untuk pembelian atau naik taraf sistem dandang,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Tambah firma itu, sekiranya BM Greentech berjaya memperoleh kontrak di bawah program Feed-in Tariff (FiT) 2.0 yang melibatkan kapasiti sekitar 130 megawatt (MW), ia berpotensi menjadi pemangkin tambahan yang signifikan kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan.

 

Segmen Rawatan Air Pemacu Pertumbuhan

Dalam masa yang sama, segmen rawatan air dijangka menjadi penyumbang pertumbuhan paling pantas, disokong peningkatan pembangunan kawasan industri dan pusat data di Malaysia kerana ia meningkatkan keperluan air untuk tujuan penyejukan sistem dan operasi harian yang membuka peluang besar kepada penyedia penyelesaian rawatan air seperti BM Greentech.

 

RHB Research berkata segmen tenaga solar turut dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan tarif elektrik yang meningkatkan insentif kepada pengguna untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui.

 

“Kenaikan tarif elektrik sekitar 15% melalui pelarasan bahan api automatik (automatic fuel adjustment, AFA) akan menjadikan pemasangan sistem solar lebih menarik dari segi penjimatan kos jangka panjang.

 

“Program SuRia Home bernilai RM150 juta dijangka merangsang penggunaan solar melalui rebat sehingga RM3,000 bagi pengguna domestik, sekali gus meningkatkan permintaan sistem solar,” katanya.

 

Unjuran Pendapatan Dinaikkan

Sejajar dengan prospek tersebut, RHB Research telah menaikkan unjuran pendapatan BM Greentech bagi tahun kewangan 2027 hingga 2029 antara 5.1% hingga 14.8%, disokong oleh jangkaan pertumbuhan segmen bio-tenaga.

 

Dari segi penilaian, saham BM Greentech kini didagangkan pada sekitar 16 kali nisbah harga kepada pendapatan (price-to-earnings, P/E), lebih rendah berbanding purata lima tahun sekitar 18 kali, sekali gus menunjukkan masih terdapat ruang penilaian semula.

 

Sementara itu, hasil dividen dianggarkan sekitar 1.7%, mencerminkan fokus syarikat kepada strategi pertumbuhan berbanding pulangan dividen tinggi.

 

Bagaimanapun, RHB Research turut memberi amaran terhadap risiko utama termasuk turun naik harga bahan mentah, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan kadar pertukaran asing. - DagangNews.com