Resort World Genting dan Trip.com perkukuh kerjasama digital tarik lebih ramai pelancong ke Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Resort World Genting dan Trip.com perkukuh kerjasama digital tarik lebih ramai pelancong ke Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai – Resorts World Genting (RWG), dan Kumpulan Trip.com terus memperkukuhkan kerjasama mereka melalui dua Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong dan menyediakan urusan tempahan dengan lancar.

 

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, kerjasama itu akan meningkatkan lagi keupayaan RWG untuk memenuhi permintaan pelancong yang semakin memberangsangkan.

 

"Dengan jaringan antarabangsa yang luas serta kepakaran Trip.com, MoU ini turut membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai kempen pemasaran bagi meningkatkan kesedaran dan permintaan terhadap RWG dalam kalangan pelancong antarabangsa, terutamanya di pasaran Asia.

 

"Kempen kolaboratif ini, termasuk jualan kilat dan tawaran eksklusif kepada ahli, akan dilaksanakan melalui penggunaan data pelancong yang komprehensif serta ekosistem pemasaran luas milik Trip.com, bagi memastikan RWG kekal sebagai destinasi utama mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Perjanjian tersebut dimeterai bersama dua entiti utama di bawah Kumpulan Trip.com di Malaysia sebagai agensi pelancongan dalam talian (OTA) yang telah menyumbang secara signifikan kepada prestasi RWG.

 

test

 

MoU itu juga adalah satu pencapaian penting dalam aspek integrasi digital, inovasi pemasaran serta penglibatan pasaran yang lebih menyeluruh. 

 

Ia mencerminkan komitmen teguh kedua-dua organisasi dalam menyediakan pengalaman pelancongan yang lancar, mesra pelanggan dan bertaraf antarabangsa kepada pelancong dari luar negara.

 

Salah satu ciri utama kerjasama ini ialah pelaksanaan integrasi Application Programming Interface (API) iaitu sambungan sistem antara dua platform secara langsung buat pertama kali antara Trip.com dan sistem tempahan hotel serta taman tema RWG. 

 

Inisiatif ini membolehkan kemas kini inventori secara langsung, pengesahan tempahan serta-merta dan penyelarasan harga di kedua-dua platform yang akan memudahkan proses tempahan pengguna.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Naib Presiden Pasaran Antarabangsa Kumpulan Trip.com, Boon Sian Chai berkata, Malaysia adalah pasaran pertumbuhan utama mereka dan komited dalam menyediakan perkhidmatan pelancongan secara menyeluruh. - DagangNews.com