RENN Asia bawa model perubatan nutrisi dan fungsian Malaysia ke pasaran China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RENN Asia bawa model perubatan nutrisi dan fungsian Malaysia ke pasaran China

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Dis – RENN Asia Wellness mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport kepakaran kesihatan serantau menerusi kerjasama strategik di pasaran China.

 

Jenama tempatan dalam bidang perubatan nutrisi dan fungsian (NFM) itu membuka pusat perubatan NFM baharu, sekali gus menandakan kemasukan rasmi model klinikal Malaysia ke China.

 

Menurut kenyataan RENN Asia yang berpusat di Kuala Lumpur,  kerjasama dijalin dengan rakan strategik dari Guangzhou, Jian Shi Tang (JST) bagi mengendalikan pusat NFM pertama di Leatop Plaza, Daerah Tianhe.

 

Perjanjian kerjasama itu dimeterai baru baru ini antara Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif RENN Asia, Jonathan Chew dan Pengasas JST, Zhang Chu Guang, yang menetapkan peranan RENN Asia sebagai penyedia kepakaran klinikal, reka bentuk program serta protokol operasi kepada rakan China tersebut.

 

Majlis menandatangani perjanjian berkenaan disaksikan oleh Presiden Persatuan Pengamal Perubatan Nutrisi dan Fungsian Malaysia (ANFMP), Datuk Seri Steve Yap dan turut dihadiri wakil komuniti perubatan, ahli akademik dari Guangzhou serta komuniti Malaysia di sana. 

 

Turut hadir ialah Pesuruhjaya Perdagangan Matrade Guangzhou, Farhana Kamaruddin, sebagai simbol sokongan Malaysia terhadap pengukuhan kerjasama dua hala khususnya dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan.

 

Kerjasama ini menjadikan RENN Asia antara peneraju awal dari Malaysia yang membawa masuk model pengurusan penyakit kronik menyeluruh ke China bermula dengan rawatan diabetes. 

 

China kini antara negara dengan kadar diabetes tertinggi di dunia melibatkan lebih 140 juta orang dewasa, sekali gus meningkatkan keperluan kepada pendekatan pencegahan dan perubatan fungsian.

 

Chew berkata, pengembangan RENN Asia ke China membuktikan keupayaan rangka kerja NFM Malaysia untuk bersaing dan diterima di pasaran kesihatan antarabangsa.

 

“Kejayaan membawa rangka kerja NFM Malaysia ke China membuktikan kemampuan kami menyediakan penyelesaian kesihatan yang praktikal dan berskala antarabangsa,” katanya.

 

Menurut beliau, kehadiran Steve Yap sebagai antara pakar NFM terkemuka di Malaysia turut mengukuhkan kredibiliti pendekatan yang dibangunkan oleh RENN Asia, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap potensi peluasan di peringkat serantau.

 

“Syarikat bukan sekadar memindahkan model rawatan tetapi membina sistem yang mampan untuk membantu rakan strategik kami meningkatkan kesihatan komuniti secara menyeluruh,” katanya.

 

Yap berkata, penerimaan rangka kerja NFM Malaysia oleh pasaran kesihatan terbesar dunia itu membuktikan kepakaran tempatan mampu memberi impak global.

 

“Salah satu pasaran kesihatan terbesar dunia kini menggunakan rangka kerja NFM yang dibangunkan di Malaysia. Ini membuktikan kepakaran tempatan kita boleh dimanfaatkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Menurut RENN Asia, inisiatif NFM mereka menekankan pendekatan berstruktur untuk menangani penyakit kronik secara menyeluruh melalui penilaian individu, intervensi nutrisi dan gaya hidup, peningkatan fungsi metabolisme serta pencegahan.

 

Selain menyediakan protokol dan reka bentuk program, RENN Asia menempatkan pengamal perubatan berpengalaman dari Malaysia sebagai penasihat pada fasa awal pelaksanaan bagi memastikan operasi pusat di Guangzhou mematuhi piawaian klinikal yang dibangunkan dari pengalaman bertahun-tahun di Malaysia.

 

Sementara itu, Ketua Pengamal Perubatan JST, Dr Dai Qi Ming berkata, rangka kerja NFM yang diperkenalkan RENN Asia selari dengan hala tuju reformasi penjagaan kesihatan di China.

 

“Pendekatan yang menekankan penilaian kesihatan individu dan rawatan berasaskan punca penyakit mempunyai potensi besar untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit, bermula dengan rawatan diabetes,” katanya.

 

Kedua-dua pihak merancang untuk meluaskan skop kerjasama kepada rawatan penyakit kronik lain seperti penyakit jantung dan saluran darah, masalah hati dan metabolik, ketidakseimbangan hormon serta penyakit alahan, sejajar dengan peningkatan beban kos kesihatan di China.

 

Melalui kerjasama ini, RENN Asia memperkukuh peranannya sebagai peneraju eksport kepakaran NFM Malaysia, sambil menyumbang kepada pengurangan komplikasi penyakit, penjimatan kos rawatan dan peningkatan kualiti hidup komuniti di peringkat serantau. - DagangNews.com