KUALA LUMPUR 7 April – Reneuco Bhd kini berdepan risiko digantung dan dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia selepas permohonannya untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mengemukakan pelan pemulihan syarikat ditolak.
Menurut makluman Bursa Malaysia Securities, Reneuco yang dikategorikan sebagai syarikat bermasalah dengan status PN17 itu dijadualkan untuk dinyahsenaraikan pada 16 April, kecuali ia mengemukakan rayuan selewat-lewatnya pada 13 April.
Bursa Malaysia memaklumkan sebarang rayuan yang dikemukakan selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan.
Walaupun rayuan dihantar dalam tempoh ditetapkan, penggantungan perdagangan saham tetap akan dilaksanakan mulai 14 April.
Jika rayuan diterima, proses nyahsenarai akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan Bursa Securities. Namun begitu, perdagangan saham Reneuco akan digantung sementara menunggu keputusan rayuan.
Reneuco dikategorikan dalam status PN17 pada Februari 2024 selepas juruaudit syarikat menyatakan mereka tidak dapat memperoleh bukti yang mencukupi untuk memberikan pendapat audit ke atas penyata kewangan kumpulan.
Masalah utama yang dikenal pasti termasuk ketulenan akaun belum terima, akaun belum bayar, pendapatan dan kos jualan syarikat.
Syarikat pembinaan tenaga dan utiliti ini pernah ditegur Bursa Malaysia kerana gagal mengeluarkan laporan tahunan 2023 dalam tempoh yang ditetapkan. Laporan itu dikeluarkan lima hari lebih lewat dan kelewatan itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu.
Pada 21 Januari, perjanjian pembelian tenaga solar Reneuco dengan Tenaga Nasional Bhd ditamatkan, menyebabkan syarikat terpaksa menanggung liabiliti sebanyak RM45 juta.
Kesan daripada isu-isu ini turut dirasai dalam pasaran saham apabila saham Reneuco jatuh 20 peratus kepada dua sen pada Isnin, menilai kumpulan itu pada RM22.8 juta.
Situasi ini menimbulkan kerisauan terhadap masa depan syarikat di pasaran saham dan memberi tekanan tambahan kepada pengurusan untuk segera mengambil tindakan pemulihan bagi mengelak dinyahsenarai keluar daripada Bursa Malaysia. - DagangNews.com








