REIT tempatan dijangka berdepan cabaran SST dan penyusutan hasil sewa - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

REIT tempatan dijangka berdepan cabaran SST dan penyusutan hasil sewa - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 19 Sept – Walaupun berdepan beberapa cabaran termasuk pelaksaaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada kadar lebih tinggi 8% ke atas perkhidmatan pajakan dan sewaan, prestasi amanah pelaburan hartanah (REIT) domestik dijangka kekal stabil dengan unjuran pendapatan yang sejajar dengan konsensus pasaran.

 

Penganalisis mengekalkan saranan 'NEUTRAL' terhadap sektor REIT, sambil menyatakan keputusan kewangan separuh pertama 2025 bagi kebanyakan REIT adalah menepati jangkaan.

 

Menurut CIMB Research, pengenalan SST 8% ke atas perkhidmatan sewaan dijangka memberi tekanan kepada potensi semakan kadar sewa pada masa akan datang.

 

“Analisis sensitiviti kami menunjukkan setiap penurunan 1% dalam semakan kadar sewa boleh mengurangkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2026 (FY26) bagi REIT di bawah liputan kami sebanyak purata 1.5%,” kata firma penyelidikan itu.

 

Namun begitu, CIMB Research masih mengekalkan unjuran asas iaitu semakan kadar sewa pada kadar sederhana (mid-single digit) bagi FY26, sejajar dengan panduan yang diberikan oleh pengurusan REIT.

 

Dalam pada itu, penurunan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas (bps) pada Julai dilihat memberikan manfaat kepada REIT, terutama yang terdedah kepada pinjaman kadar terapung.

 

“Setiap penurunan 25 bps dalam pinjaman kadar terapung boleh menghasilkan penjimatan kos tahunan antara 0.9% hingga 3.1% bagi tahun kewangan 2026,” jelas CIMB.

 

Al-Aqar Healthcare-REIT dikenalpasti sebagai penerima manfaat utama kerana keseluruhan pembiayaannya menggunakan kadar terapung. Axis-REIT dan Sunway-REIT turut dijangka mendapat manfaat daripada penurunan kadar ini.

 

Selain itu, pendapatan suku ketiga yang berakhir 30 September juga dijangka lebih baik berbanding suku sebelumnya, disokong oleh kesan positif daripada penurunan OPR, diskaun Penyesuaian Automatik Bahan Api (ICPT) bagi Julai hingga September, serta peningkatan jumlah pelancong.

 

Sementara itu MBSB Research dalam nota penyelidikannya turut mengekalkan saranan 'NEUTRAL' terhadap sektor REIT, sambil menyatakan bahawa peluang kenaikan harga saham adalah terhad meskipun asas sektor kekal kukuh.

 

Pavilion-REIT merupakan satu-satunya REIT yang disarankan sebagai 'BELU' oleh MBSB Research, dengan harga sasaran RM1.88, disokong oleh prospek pendapatan kukuh daripada beberapa kompleks beli-belah utama dalam portfolionya.

 

Bagaimanapun, prestasi lemah Indeks KL-REIT pada bulan Ogos dilihat berpunca daripada pengecilan jurang hasil (yield spread) antara pulangan MGS 10 tahun dan hasil purata REIT.

 

“Purata hasil REIT di bawah liputan kami kini sekitar 4.6%, yang kami anggap kurang menarik memandangkan spread antara hasil REIT dan MGS 10 tahun telah mengecil di bawah 150 mata asas pada Julai – lebih rendah daripada purata jangka panjang 164 mata asas,” tambah MBSB Research. - DagangNews.com