Reigate Grammar School rasmikan pembukaan kampus baharu di Kajang 2 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reigate Grammar School rasmikan pembukaan kampus baharu di Kajang 2

Reigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL) kini dilancarkan secara rasmi, menandakan kehadiran lebih 350 tahun kecemerlangan pendidikan British di Malaysia melalui kerjasama bersejarah bersama Kumpulan Beaconhouse
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 NovReigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL) telah merasmikan pembukaan kampus baharunya di Kajang 2 bagi membawa tradisi kecemerlangan pendidikan British melalui kerjasamanya dengan Beaconhouse Group. 

 

Ditubuhkan pada tahun 1675, Reigate Grammar School di United Kingdom merupakan antara sekolah swasta paling berprestij di England, terkenal dengan pencapaian akademik, penjagaan pastoral yang unggul serta komitmen terhadap pembangunan menyeluruh untuk setiap pelajar.

 

Majlis perasmiannya turut dihadiri oleh wakil senior dari Kementerian Pendidikan, seperti Timbalan Pengarah Pendidikan Swasta, Dr. Sarifah Norazah. 

 

Turut hadir ialah Pengarah Negara, Jabatan Perniagaan dan Perdagangan, Suruhanjaya Tinggi British, Richard Colley dan Atase Kebajikan Komuniti, Suruhanjaya Tinggi Pakistan, Hamza Naveed.

 

Acara ini turut disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Beaconhouse, Kasim Kasuri; Pengarah Eksekutif Beaconhouse, Nassir Kasuri; kakitangan kanan Beaconhouse serta wakil dari Reigate Grammar School seperti Guru Besar Eksekutif Kumpulan Reigate Grammar School, Shaun Fenton; Pengarah Perniagaan Global, Sean Davey dan rakan-rakan dari kampus RGS di rantau ini.

 

t
(Dari kiri) Shaun Fenton, Pengetua Eksekutif Kumpulan Reigate Grammar School, wakil daripada Kementerian Pendidikan (MoE), (tengah) Phillip Bailey, Pengetua Reigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL), Dr. Sarifah Norazah, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia (MoE), dan wakil-wakil lain daripada sekolah semasa Majlis Perasmian Reigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL).

 

Pengetua Reigate Grammar School Kuala Lumpur, Philip Bailey berkata, perasmian ini merupakan satu pencapaian penting bagi pihak pengurusan. 

 

“Kami berbangga untuk membawa warisan dan pengajaran Reigate Grammar School ke Malaysia. 

 

“Kami mahu membina sebuah komuniti yang mesra dan inklusif di mana setiap pelajar akan disokong, diberikan keyakinan dan inspirasi untuk mencapai potensi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

RGSKL menawarkan pendidikan British unik yang berasaskan nilai-nilai teras sekolah berkenaan iaitu sifat ingin tahu, ketabahan, etika, rasa hormat dan kreativiti. 

 

Nilai-nilai ini merupakan panduan dalam proses pembelajaran di semua peringkat, daripada Tahun Awal hingga ke peringkat A Level. 

 

Setiap pelajar akan diberi perhatian dan sokongan dengan penekanan yang seimbang terhadap kemajuan akademik, kesejahteraan diri dan perkembangan peribadi.

 

t
(Kiri) Phillip Bailey, Pengetua Reigate Grammar School Kuala Lumpur, dan (Kanan) Shaun Fenton, Pengetua Eksekutif Kumpulan Reigate Grammar School, semasa sesi menandatangani secara rasmi pada Majlis Perasmian Reigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL).

 

Sekolah ini menyediakan persekitaran pembelajaran yang bertenaga bagi membolehkan pelajar meneroka minat tersendiri melalui pelbagai aktiviti sukan, muzik, drama dan seni kreatif. 

 

Program lawatan sambil belajar dan aktiviti pembelajaran praktikal diintegrasikan bersama pengalaman pengajaran di dalam kelas, sekaligus menggalakkan sifat ingin tahu, kerjasama dan keyakinan diri.

 

Kampus Kajang 2 dibina untuk menyokong sistem pembelajaran moden yang holistik, dilengkapi dengan lapan makmal sains, perpustakaan dua tingkat, padang sintetik bersaiz penuh, kolam renang, dewan serba guna dalaman, gelanggang luar, gelanggang tenis dan dua dinding panjat.

 

Fasiliti asrama berkapasiti 250 pelajar dijadualkan untuk dibuka pada Ogos 2027. 

 

Sementara itu, penginapan berdekatan yang diawasi akan disediakan sehingga asrama siap dan sekolah akan turut menawarkan perkhidmatan bas ulang-alik.

 

t
Pelajar-pelajar Reigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL) menyambut tetamu semasa Majlis Perasmian Reigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL)

 

RGSKL kini mendidik lebih 400 pelajar daripada 28 negara dengan kapasiti maksimum 1,250 pelajar. 

 

Kepelbagaian ini mencerminkan pandangan global Malaysia dan mewujudkan persekitaran sekolah antarabangsa yang inklusif.

 

Guru Besar Eksekutif Reigate Grammar School Group, Shaun Fenton berkata, pengalaman 350 tahun dalam dunia pendidikan British telah memberikan  asas yang kukuh untuk para pelajar di kampus Kuala Lumpur. 

 

“Kami mahu setiap pelajar berkembang dari segi akademik dan peribadi, sambil memupuk perspektif global dalam diri mereka,” katanya.

 

RGSKL beroperasi melalui kerjasama dengan Beaconhouse Group, salah satu rangkaian pendidikan terbesar di dunia dengan badan pelajar melebihi 380,000 orang di lapan negara, termasuklah 13 sekolah di Lembah Klang.

 

t
Pelajar-pelajar Reigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL) menyambut tetamu semasa Majlis Perasmian Reigate Grammar School Kuala Lumpur (RGSKL)

 

Kerjasama ini bakal menggabungkan kepakaran antarabangsa dan pemahaman tempatan untuk menyediakan pendidikan British berkualiti tinggi yang mencerminkan budaya serta nilai Malaysia.

 

“Kerjasama dengan Beaconhouse ini mengukuhkan misi kami untuk menawarkan pendidikan yang membentuk sahsiah di samping kecemerlangan akademik. 

 

“Setiap pelajar kami harus dilengkapi dengan keperluan masa depan dan yakin dengan identiti mereka,” tambah Philip Bailey. 

 

Reigate Grammar School Kuala Lumpur mengalu-alukan seeisi keluarga untuk menghadiri sesi Open Morning pada hari persekolahan biasa. 

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.reigategrammar.edu.my. - DagangNews.com