KUALA LUMPUR 28 April — Reach Ten Holdings Berhad merekodkan keuntungan bersih melonjak kepada paras tertinggi sepanjang ditubuhkan sebanyak RM70.56 juta untuk tahun kewangan 2024 (FY24) berbanding RM51.33 juta dicatatkan pada FY23.
Pengarah Urusannya, Leo Chin berkata, ia merupakan tahun luar biasa apabila hasil syarikat itu meningkat disebabkan beberapa projek, termasuk pemasangan jalur lebar berulang untuk komuniti luar bandar yang kekurangan liputan perkhidmatan.
Beliau berkata, keputusan kewangan FY24 adalah paling baik dalam sejarah prestasi syarikat yang berpangkalan di Sarawak tersebut dan dicatatkan pula menjelang penyenaraian dagangan sahamnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2 Mei 2025.
"Ia disumbangkan oleh keuntungan kasar dan margin yang lebih tinggi, walaupun hasil adalah susut kepada sebanyak RM170.85 juta berbanding RM182.26 juta dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya," kata beliau dalam satu kenyataan syarikat itu.
Penurunan dalam pendapatan katanya, disebabkan oleh sumbangan hasil lebih rendah daripada segmen utama iaitu rangkaian komunikasi dan perkhidmatan berasaskan satelit, yang selama ini banyak membantu memacu pertumbuhan keuntungannya.
Untuk tempoh suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2024 pula, Reach Ten mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM18.61 juta daripada hasil RM34.17 juta. Keadaan ini turut menyaksikan pendapatan sesahamnya ialah 2.33 sen.
Tiada angka perbandingan untuk suku tersebut kerana ini merupakan laporan kewangan interim pertama yang diumumkan oleh syarikat berkenaan sebagai mematuhi aspek keperluan dalam penyenaraian di bursa saham tempatan.
“Dengan rancangan pengembangan tiga tahun sedia ada, kami kekal optimis dengan keupayaan bagi mencapai sasaran dalaman sambil mengembangkan projek infrastruktur rangkaian gentian optik di seluruh Miri, Sibu dan Bintulu," kata Leo.
Beliau berkata, keyakinan tersebut berdasarkan permintaan pelanggan yang semakin meningkat dan meletakkan Reach Ten dengan peluang terbuka untuk memanfaatkan potensi pertumbuhan masa depan di wilayah utama berkenaan.
Syarikat tersebut juga katanya, sedang berusaha mencari cara untuk mengembangkan rangkaian komunikasi gentian optiknya di Kuching dan Samarahan serta merancang bagi mewujudkan jaringan serupa di Miri, Sibu dan Bintulu.
Langkah berkenaan kata Leo, sebagai strategi untuk menjangkau kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan atau baru dibangunkan dan mengembangkan lagi bahagian pasarannya dalam jangka panjang. - DagangNews.com








