RCE Capital catat untung bersih RM29.31 juta pada 2QFY2026 hasil jumlah pinjaman lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RCE Capital catat untung bersih RM29.31 juta pada 2QFY2026 hasil jumlah pinjaman lebih tinggi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Nov – RCE Capital Bhd mencatat keuntungan bersih sebanyak RM29.31 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY2026), meningkat 5.3% berbanding RM27.83 juta pada tahun sebelumnya, hasil daripada peningkatan jumlah pinjaman yang menyokong pendapatan yuran.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, RCE Capital berkata, hasil suku tahunan meningkat 2.8% kepada RM82.67 juta daripada RM80.41 juta, manakala peruntukan kerugian ke atas pinjaman berkurangan kepada RM5.25 juta daripada RM6.36 juta. 

 

“Kos pengarah dan kakitangan turut turun kepada RM10.61 juta daripada RM12.39 juta, menyumbang kepada prestasi keuntungan yang lebih baik,” kata RCE Capital.

 

Kumpulan mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak tiga sen sesaham, tidak berubah berbanding tahun lalu dan dijadualkan dibayar pada 30 Disember.

 

Bagi enam bulan pertama FY2026, keuntungan bersih RCE Capital menurun 4.9% kepada RM55.3 juta daripada RM58.15 juta, sementara hasil meningkat 1.8% kepada RM162.46 juta daripada RM159.52 juta setahun yang lalu.

 

RCE Capital, berkata syarikat akan mengekalkan pendekatan konservatif dalam penilaian kredit bagi melindungi kualiti aset di tengah-tengah risiko kredit yang meningkat, sekaligus memastikan prestasi perniagaan yang mampan.

 

“Dalam usaha melengkapkan strategi pertumbuhan, kumpulan menumpukan kepada kempen pemasaran dan pengembangan saluran.

 

“Selain itu, beberapa penambahbaikan infrastruktur sistem maklumat dijangka meningkatkan capaian pasaran, pengalaman pelanggan, dan kecekapan operasi,” katanya. - DagangNews.com