Rasionalisasi subsidi RON95: Kerajaan mampu jimat sehingga RM4 bilion setahun – Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rasionalisasi subsidi RON95: Kerajaan mampu jimat sehingga RM4 bilion setahun – Amir Hamzah

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 22 Sept – Pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 dijangka memberi penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun kepada kerajaan, bergantung kepada harga minyak mentah global, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Menurut beliau, jangkaan penjimatan itu berdasarkan harga minyak sekitar AS$75 setong dan dana berkenaan akan disalurkan semula kepada pelbagai program sokongan sosial.

 

“Sekiranya harga minyak berada pada paras sekitar AS$75 setong, kerajaan dijangka dapat menjimatkan antara RM2.5 hingga RM3.5 atau RM4 bilion setahun,” katanya kepada media selepas program Kampung Angkat Madani di Pulau Betong, Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

Amir Hamzah berkata, penjimatan daripada rasionalisasi subsidi ini akan digunakan semula untuk memperkukuh program bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Bantuan pendidikan dan skim tunai lain.

 

Katanya, jika rasionalisasi ini tidak dilaksanakan, perbelanjaan kerajaan yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan akan berkurangan.

 

Beliau menambah, kerajaan turut memilih sistem pengesahan MyKad bagi memastikan ketirisan subsidi dapat dielakkan. 

 

"Hanya warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas dengan lesen memandu sah layak menerima subsidi.

 

“Setiap rakyat Malaysia yang berumur lebih 12 tahun mempunyai MyKad. Jadi kita boleh bezakan dengan jelas antara warganegara dan bukan warganegara. Kalau tiada MyKad biru, anda tidak layak,” katanya.

 

Amir Hamzah berkata, mekanisme penuh pelaksanaan subsidi bersasar ini akan diumumkan dalam minggu ini di Putrajaya.

 

Bermula 30 September 2025, semua warganegara Malaysia yang layak akan menikmati subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter, berbanding harga semasa RM2.05 seliter.

 

 

 

 

 

Antara ciri utama pelaksanaan subsidi bersasar ini ialah pengesahan boleh dilakukan menggunakan MyKad di pam, kaunter atau melalui aplikasi stesen minyak.

 

Warganegara asing, individu tanpa lesen memandu sah serta kenderaan berdaftar asing tidak layak menerima subsidi. Kenderaan komersial akan terus menikmati subsidi melalui sistem **fleet card** sedia ada. - DagangNews.com