Ranhill SAJ peruntuk RM3 bilion tingkatkan kualiti khidmat bekalan air di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ranhill SAJ peruntuk RM3 bilion tingkatkan kualiti khidmat bekalan air di Johor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Syarikat pembekal air terawat Johor, Ranhill SAJ Sdn Bhd memperuntukkan RM3 billion untuk pembiayaan naik taraf, memodenkan loji rawatan air (LRA) dan menggantikan paip lama untuk mengurangkan kehilangan air dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani berkata, peruntukan yang sama juga akan digunakan untuk memperluas infrastruktur bagi menampung permintaan sedia ada dan baharu serta melaksanakan sistem pintar untuk meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan.

 

"Keterjaminan bekalan air yang bersih, selamat dan mampan sentiasa menjadi fokus utama kami dalam memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik.

 

"Usaha naik taraf penting dalam menghadapi cabaran masa depan seperti pertumbuhan penduduk, kepesatan pembangunan, kestabilan dan mengoptimumkan keupayaan pembekalan sedia ada.

 

"Untuk mencapai matlamat itu, kami memerlukan peruntukan yang tinggi bagi menaik taraf aset yang sudah uzur dan kami menyokong penuh pelarasan tarif air sedia ada kerana tanpanya, langkah ke arah mewujudkan sistem pembekalan air yang stabil akan pincang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Semalam, media melaporkan terdapat 10 operator perkhidmatan air telah mengemukakan permohonan pelarasan tarif kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) setakat ini.

 

Selain Johor, sembilan negeri lain ialah Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, permohonan yang dibuat Ranhill SAJ itu adalah selepas kajian terperinci dilakukan serta proses libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk kajian kepuasan pelanggan dengan para pengguna.


"Pelarasan tersebut dirangka dengan penuh teliti agar tidak membebankan sebahagian besar pengguna.

 

“Dana daripada pelarasan ini akan digunakan untuk menaik taraf sistem paip lama, membaiki kehilangan air, menambah baik loji rawatan air dan memperkukuh infrastruktur bekalan air.

 

“Kami sedar bahawa isu air melibatkan kepentingan asas rakyat. Oleh itu, setiap sen yang dibelanjakan akan disalurkan kembali kepada pengguna dalam bentuk perkhidmatan yang lebih cekap dan sistem yang lebih moden serta tahan lasak," katanya.

 

Tambahnya, Ranhill SAJ amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh para pengguna selama ini dan menegaskan syarikat komited untuk terus membantu mereka yang memerlukan termasuk menyediakan rebat khas kepada kumpulan sasar.

 

“Kami mohon sokongan dan kepercayaan berterusan daripada semua pihak khususnya para pengguna.

 

“Setiap pelarasan merupakan pelaburan dalam memastikan pengguna sedia ada serta generasi akan datang tidak akan berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air yang berkualiti.

 

"Sebagai negeri yang sedang pesat membangun, Johor memerlukan sistem bekalan air yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya. - DagangNews.com