KUALA LUMPUR 29 Okt - Tempoh eksklusiviti bagi perjanjian kerjasama kedua antara anak syarikat milik penuh pemaju hartanah Mah Sing Group Bhd, iaitu Southville City Sdn Bhd, dan Bridge Data Centres Malaysia VII Sdn Bhd telah tamat.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, Mah Sing menjelaskan tempoh eksklusiviti bagi perjanjian kerjasama yang dimeterai pada 28 Oktober 2024 telah tamat pada 28 Oktober 2025.
Perjanjian tersebut bertujuan membangunkan bersama kemudahan dan infrastruktur pusat data (DC) di atas tanah berkeluasan kira-kira 14.44 hektar dalam kawasan Mah Sing DC Hub @ Southville City seluas 60.7 hektar yang terletak di Bangi, Selangor.

“Mah Sing sedang berusaha meneruskan projek pusat data tersebut memandangkan tanah itu terletak di lokasi strategik di Bangi, Selangor.
"Lokasi tersebut menawarkan sambungan yang sangat baik ke Kuala Lumpur dan lebuh raya utama, serta akses sedia ada kepada bekalan elektrik, air, dan infrastruktur telekomunikasi berkelajuan tinggi.
"Kami akan terus meneroka peluang kerjasama usaha sama, susunan bina-untuk-disewa, atau penjualan tanah secara terus kepada pengendali pusat data yang berminat,” kata syarikat pemaju perumahan itu. - DagangNews.com








