KUALA LUMPUR 16 Mac – Kutipan sisa domestik di Kuala Lumpur mencatat peningkatan ketara sepanjang bulan Ramadan 2026, iaitu 45,108.31 tan metrik, naik 23% berbanding 36,797.55 tan metrik pada tahun sebelumnya.
Data itu adalah kutipan sampah yang direkodkan Alam Flora Sdn. Bhd bagi tempoh dari 1 hingga 25 Ramadan 2026.
Di Putrajaya, kutipan sisa kekal stabil dengan sedikit penurunan sekitar 2% kepada 2,793.04 tan metrik, manakala Pahang mencatatkan penurunan lebih ketara sebanyak 28% kepada 13,618.59 tan metrik.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Shariman Yusuf Mohamed Zain berkata sisa makanan yang tidak dihabiskan atau berlebihan di bazar Ramadan merupakan antara penyumbang tertinggi kepada peningkatan kutipan sisa, selain plastik bungkusan dan polisterin.
Beliau menjelaskan, melalui kempen Tapau Elak Sisa, orang ramai digalakkan membawa bekas makanan sendiri atau menggunakan tiffin ketika membeli juadah, usaha yang bukan sahaja mengurangkan sisa tetapi juga memupuk amalan penggunaan semula yang lebih lestari.
“Berdasarkan statistik dari 2024 hingga 2026, trend kutipan sisa pepejal sepanjang bulan Ramadan menunjukkan peningkatan yang ketara, terutama di kawasan berkepadatan tinggi seperti Kuala Lumpur.
“Sebenarnya hampir 60% sisa makanan boleh dielakkan sekiranya orang ramai mengamalkan perancangan pembelian dan kaedah penyimpanan makanan yang betul.
“Oleh itu Alam Flora juga menyeru kerjasama daripada semua pihak untuk membantu menjaga kebersihan di kawasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Sisa makanan dan sisa kitar semula perlu diasingkan, diikat dengan kemas dalam beg plastik yang sesuai dan diletakkan di tepi tong pada hari kutipan
Inisiatif ini selaras dengan program pengasingan sisa daripada punca yang diperkenalkan oleh kerajaan, dan bertujuan memastikan proses pengurusan sisa berjalan lebih berkesan.
Orang ramai yang ingin berkongsi maklumat mengenai tahap kebersihan di kawasan mereka boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora di talian 1-800-88-7472, yang beroperasi setiap hari dari jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam.
Ditubuhkan pada tahun 1995, Alam Flora merupakan salah satu syarikat pengurusan alam sekitar terkemuka di Malaysia dan memainkan peranan penting dalam menyokong agenda kelestarian negara melalui penyelesaian pengurusan sisa dan alam sekitar.
Sebagai pemegang konsesi terbesar di bawah program penswastaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, Alam Flora menyediakan perkhidmatan menyeluruh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, serta negeri Pahang. - DagangNews.com








