RAM Ratings kekalkan unjuran KDNK 2026 pada 4%–5% di sebalik ketidaktentuan global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RAM Ratings kekalkan unjuran KDNK 2026 pada 4%–5% di sebalik ketidaktentuan global

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Mac – RAM Ratings mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 pada kadar antara 4.0% hingga 5.0%, disokong kekuatan ekonomi domestik yang berterusan.

 

Bagaimanapun, agensi penarafan itu memberi amaran perkembangan global terkini termasuk pembatalan tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS) serta ketegangan yang memuncak di Timur Tengah berpotensi menjejaskan prospek pertumbuhan tahun ini.

 

Menurut RAM Ratings, keputusan Mahkamah Agung AS untuk membatalkan tarif timbal balas di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa hanya memberi kelegaan sementara kepada rakan dagang utama negara tersebut.

 

“Langkah tarif baharu masih boleh diperkenalkan oleh AS menggunakan rangka kerja perundangan alternatif dalam tempoh 150 hari.

 

“Kami juga kekal berhati-hati terhadap kemungkinan tarif baharu yang menyasarkan sektor semikonduktor yang boleh mengekang momentum pertumbuhan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Risiko harga minyak, gangguan bekalan

Mengulas konflik di Timur Tengah, RAM Ratings berkata Malaysia berdepan risiko segera daripada kenaikan harga minyak serta kemungkinan gangguan bekalan, memandangkan kira-kira 30% import bahan api mineral negara berasal dari rantau tersebut.

 

Namun begitu, kesan gangguan perdagangan secara menyeluruh dijangka terhad kerana Timur Tengah bukan rakan dagang utama Malaysia.

 

“Eksport Malaysia ke Timur Tengah hanya merangkumi 1.9% daripada jumlah keseluruhan eksport negara, manakala import dari rantau itu mewakili 4.7% daripada jumlah import,” jelasnya.

 

Prestasi kukuh hujung 2025

Dari sudut prestasi semasa, ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 6.3% pada suku keempat 2025, meningkat daripada 5.4% pada suku sebelumnya.

 

Pertumbuhan itu didorong prestasi lebih kukuh dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, sekali gus mencerminkan daya tahan permintaan domestik. - DagangNews.com