Rakyat Malaysia paling aktif guna AI untuk membeli-belah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rakyat Malaysia paling aktif guna AI untuk membeli-belah

Foto Hiasan
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Sebuah kaji selidik berkaitan peruncitan mendapati rakyat Malaysia antara paling aktif menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pengalaman membeli-belah mereka.

 

Menurut Laporan Runcit Adyen 2025, sebanyak 58% pengguna tempatan menyatakan mereka menggunakan AI untuk menambah baik pengalaman membeli-belah, jauh mengatasi purata global iaitu 37%.

 

Laporan yang mengumpul maklum balas daripada 41,000 pengguna dan 14,000 peruncit di 28 pasaran – termasuk 1,000 pengguna dan 500 peruncit di Malaysia – menunjukkan rakyat Malaysia antara pengguna AI paling aktif di Asia Pasifik, menggunakan teknologi ini untuk mendapatkan inspirasi dan membuat keputusan pembelian yang lebih bijak.

 

"Daripada ChatGPT ke enjin carian pintar, AI kini mengubah cara pengguna menemui jenama dan produk baharu. 

 

"Di Malaysia, 71% responden berkata AI memberi idea untuk penyediaan makanan, pakaian dan pembelian, manakala 69% responden menyatakan AI memperkenalkan mereka kepada jenama yang sebelum ini tidak dikenali. 

 

"Malah, hampir satu daripada lima (18%) mengakui idea produk terbaik mereka datang daripada AI," menurut laporan tersebut.

 

Laporan itu turut menyebut, dengan 60% pengguna menyatakan kesediaan untuk membeli terus melalui alat AI pada masa depan, permintaan terhadap perdagangan berasaskan AI dijangka terus meningkat.

 

"Kita sedang menyaksikan peralihan daripada kemudahan digital kepada kecerdasan digital. AI berpotensi menjadi ‘penata gaya peribadi’ atau ‘pembantu membeli-belah’, memaparkan jenama baharu dan membuat cadangan tersuai," kata Pengurus Negara Adyen Malaysia, Soon Yean Lee.

 

Soon Yean Lee
Soon Yean Lee

 

Ketika AI mengubah cara rakyat Malaysia mencari produk baharu, lokasi dan saluran pembelian mereka juga turut berubah.

 

Walaupun digital semakin mendominasi, kedai fizikal kekal relevan – didorong oleh keinginan pengguna untuk merasai dan mencuba produk sebelum membeli. 

 

Lebih separuh (57%) ingin melihat dan menyentuh produk, 49% mahu mencuba terlebih dahulu, manakala 53% menghargai kepuasan segera membawa pulang barangan.

 

Namun, pengguna juga mahukan lebih daripada sekadar interaksi produk – 55% mahu pengalaman di kedai lebih menarik, seperti penggunaan teknologi AR/VR, kafe dalam premis atau acara khas.

 

Sementara itu, pembelian dalam talian kekal popular kerana kelajuan (62%), kemudahan (54%) dan harga yang lebih kompetitif (53%). Separuh daripada pengguna Malaysia (50%) membeli dalam talian kerana pilihan produk yang lebih luas berbanding kedai fizikal.

 

Menariknya, 57% rakyat Malaysia kini membeli terus dari platform media sosial, dengan purata enam kali sebulan – mencerminkan peningkatan pesat e-dagang sosial. - DagangNews.com