KUALA LUMPUR 3 Mac – Rakyat di kawasan luar bandar digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan perbankan digital bagi memudahkan urusan kewangan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa secara selamat.
Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk memastikan penduduk luar bandar tidak ketinggalan dalam transformasi ekonomi digital negara.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata selain perbankan digital, perkhidmatan tradisional seperti cawangan bank dan mesin ATM tetap disediakan di kawasan luar bandar yang sedang berkembang pesat, termasuk pekan Long Lama, Beluru dan Bario di Parlimen Baram.
Beliau berkata ejen bank yang kebiasaannya terdiri daripada kedai runcit, stesen minyak, pejabat pos dan koperasi juga memainkan peranan penting di kawasan pedalaman kerana mereka dilantik untuk menawarkan perkhidmatan asas seperti penyimpanan dan pengeluaran wang, pemindahan dana, pembukaan akaun serta pembayaran bil utiliti.
“Inisiatif Bank Bergerak turut diperkenalkan bagi menyediakan perkhidmatan asas perbankan, termasuk nasihat kewangan, di lokasi-lokasi yang sukar diakses oleh penduduk.
“Di Long Lama, terdapat dua lokasi ejen bank dan satu mesin ATM, manakala di Beluru, penduduk mempunyai akses kepada dua cawangan bank, satu ejen bank dan satu ATM manakala di Bario pula, terdapat dua ejen bank dan satu ATM bagi memenuhi keperluan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) yang meminta penjelasan mengenai perancangan Kementerian berkaitan perkhidmatan perbankan di kawasan luar bandar Sarawak yang sedang pesat membangun di Parlimen hari ini.
Liew berkata semua kemudahan perbankan yang disediakan itu membuktikan usaha untuk merapatkan jurang perkhidmatan kewangan antara bandar dan luar bandar.
“Langkah ini penting bagi membolehkan penduduk pedalaman melakukan urusan kewangan tanpa perlu bergerak jauh ke bandar.
“Sebarang permohonan, cadangan atau permintaan untuk membuka cawangan bank baharu di kawasan tertentu boleh dibuat dengan menghubungi bank-bank berkenaan bagi memudahkan perancangan dan pelaksanaannya,” katanya. - DagangNews.com








