KUALA LUMPUR 14 Julai – Radium Development Bhd (Radium) mengorak langkah pertama dalam sektor penjagaan kesihatan swasta dengan pembinaan Hospital Radium @ Ayer Keroh, di bawah anak syarikat baharu Kumpulan itu, Radium Healthcare.
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Gary Gan berkata, pembangunan hospital berkapasiti 140 katil itu merupakan langkah susulan penting selepas pelancaran rasmi Radium Healthcare dan pengenalan Hospital Radium @ Ayer Keroh pada Mei lalu.
“Hospital ini akan menjadi komponen teras kepada pembangunan bersepadu Radium Centricity seluas 2.8 hektar yang dirancang dengan elemen gaya hidup terkini, hospitaliti serta perkhidmatan kesihatan tambahan pada fasa-fasa akan datang.
“Inisiatif ini bukan sekadar memulakan kerja-kerja pembinaan, tetapi mencerminkan komitmen jangka panjang Radium untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang memberi nilai tambah dan impak positif kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Terletak bersebelahan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan kurang empat kilometer dari Lebuhraya Utara-Selatan, fasiliti itu disasarkan untuk memenuhi permintaan penjagaan kesihatan berkualiti di sekitar bandar berdekatan selain menyokong agenda negeri dalam merancakkan lagi industri pelancongan perubatan dan penjagaan kesihatan serantau.

Hospital tersebut dijadual beroperasi pada separuh pertama 2028 dan akan menawarkan pelbagai perkhidmatan rawatan termasuk pusat kecemerlangan dalam bidang traumatologi, kardiologi, kesuburan dan neonatologi (pediatrik).
Tambahnya, hospital itu akan dikendalikan dengan kerjasama M Life Healthcare Sdn Bhd yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Radium Healthcare, Dr Arun Kumar yang berpengalaman lebih tiga dekad dalam sektor penjagaan kesihatan.
“Hospital Radium bukan sekadar fasiliti, tetapi satu permulaan ke arah membina rangkaian kesihatan berfokuskan pesakit, teknologi canggih dan akses rawatan yang saksama,” katanya.
Hospital itu akan dibangunkan menggunakan model pembangunan aset-ringan dengan pembiayaan daripada gabungan dana dalaman dan pinjaman bank.
Radium Healthcare turut merancang memperoleh akreditasi daripada Persijilan Kualiti Penjagaan Kesihatan Malaysia (MSQH) bagi memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan dan kualiti tertinggi.
Kerja-kerja pembinaan dijangka dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan operasi dapat dimulakan menjelang pertengahan tahun 2028.
Radium turut merancang meneroka peluang pembangunan kesihatan lain di lokasi strategik seluruh negara sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan jangka panjangnya. - DagangNews.com








