KUALA LUMPUR 29 April – TA Securities menjangkakan Alpha IVF Group Berhad akan mencatat prestasi lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26) disokong operasi dua pusat baharu di Kota Kinabalu dan Manila yang menjana keuntungan bermula tempoh tersbut.
Firma penyelidikan itu berkata, selain dua lokasi itu, Alpha IVF terus mempercepatkan pelan pengembangan serantau dengan beberapa pembukaan baharu yang telah dirancang.
“Alpha Tuguegarao dijangka mula beroperasi pada Ogos 2026, diikuti pusat di Johor dan Jakarta pada November 2026, manakala pusat di Bali disasarkan beroperasi pada 2027.
“Kesemua pusat ini dijangka mencapai status EBITDA positif dalam tempoh tiga bulan pertama operasi, mencerminkan kecekapan model pengembangan Kumpulan yang memfokuskan rawatan kesuburan,” kata TA Securities dalam nota kajiannya.
Firma itu turut menjangkakan peningkatan prestasi pada 4QFY26 disokong pengurangan tekanan kos permulaan selepas fasa pembukaan pusat baharu, di samping pemulihan volum di Indonesia berikutan pelarasan harga yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2026, Alpha IVF mencatatkan keuntungan bersih RM39.7 juta, bersamaan 69.6% daripada unjuran tahun penuh TA Securities dan 67.2% daripada jangkaan konsensus, yang dianggap masih dalam lingkungan jangkaan pasaran.
Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) susut 0.6% kepada RM54.4 juta walaupun hasil meningkat 15.5% kepada RM146.5 juta. Penurunan margin ini berpunca daripada pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) 6% ke atas pesakit asing bermula September 2025 serta peningkatan kos pra-operasi melibatkan pengubahsuaian, latihan staf dan pengambilan tenaga kerja bagi menyokong peluasan rangkaian.
ARTIKEL BERKAITAN: Alpha IVF catat untung bersih RM12.2 juta bagi 3QFY26 dipacu peningkatan pesakit rawatan kesuburan
Akibatnya, margin PBT mengecil sebanyak 6.0 mata peratus kepada 37.1%, mencerminkan tekanan sementara daripada fasa pengembangan agresif kumpulan.
Dari segi operasi, Malaysia terus menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan hasil meningkat 20.5% kepada RM133.4 juta, disokong peningkatan pesakit tempatan dan asing. Sebaliknya, operasi Singapura mencatat penurunan ketara 28.6% kepada RM11.5 juta berikutan tempoh masa diperlukan bagi tiga pakar baharu membina asas pesakit mereka.
TA Securities menjelaskan walaupun terdapat kelemahan di Singapura, keseluruhan prestasi kumpulan masih disokong oleh pertumbuhan kukuh di Malaysia serta sumbangan awal daripada operasi baharu di Indonesia dan Filipina.
Pada asas suku ke suku, pendapatan 3QFY26 susut sedikit 0.4% kepada RM47.1 juta dipengaruhi faktor bermusim, namun keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 3.8% kepada RM12.5 juta didorong penurunan kos pra-operasi.
Firma itu turut mengekalkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 tanpa perubahan, sambil menunggu maklum balas lanjut daripada sesi taklimat yang akan diadakan.
Bagi keseluruhan prospek, TA Securities menjangkakan momentum pertumbuhan akan kekal positif disokong peluasan rangkaian pusat IVF serantau, dengan keyakinan bahawa permintaan rawatan kesuburan akan terus berkembang di pasaran utama Asia Tenggara.
TA Securities mengekalkan saranan “Beli” ke atas Alpha IVF dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.37 sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PE) 23 kali bagi tahun kewangan 2027, mencerminkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan jangka sederhana kumpulan. - DagangNews.com








