KUALA LUMPUR 2 Mac – PTT Synergy Group Bhd melantik Dan Then Ikh Choo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan baharu berkuat kuasa 2 Mac 2026.
Bekas CEO, Tang Choi Peng pula kini dilantik sebagai Ketua Pegawai Strategik (CSO) merangkap Pengarah Eksekutif bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan strategi jangka panjang dan memperkukuh kepimpinan operasi.
Then sebelum ini berkhidmat sebagai CEO PTT Logistics Sdn Bhd sejak Mei 2023 dan merupakan ahli lembaga beberapa anak syarikat PTT.
Peralihan kepimpinan ini sebahagian daripada strategi transformasi syarikat yang bertujuan membangunkan platform gudang automasi bagi menyokong keperluan industri dan logistik yang berkembang.
Dalam kenyataannya, Then berkata pihaknya akan menumpukan perhatian kepada pelaksanaan strategi secara disiplin bagi merealisasikan matlamat pembangunan gudang pintar, penyelesaian automasi dan intralogistik yang menyepadukan reka bentuk, keunggulan operasi serta keperluan pelanggan.
Then membawa pengalaman lebih 19 tahun dalam bidang konsultasi intralogistik dan automasi gudang, merangkumi operasi pengedaran, pusat alat ganti serta hab e-dagang dalam pelbagai industri termasuk barangan pengguna, farmaseutikal, automotif dan runcit.
PTT Synergy menumpukan kepada penyelesaian gudang automatik berasaskan IoT dan kecerdasan buatan, serta perkhidmatan pembinaan, disokong oleh mesin berat terbesar di Malaysia.
Syarikat menjangkakan inisiatif ini dapat meningkatkan kelestarian penyewaan dan memperbaiki keterlihatan pendapatan berulang dalam jangka masa panjang. - DagangNews.com








