PSP Energy sasar penyenaraian di Pasaran ACE, terbit 213 juta saham baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PSP Energy sasar penyenaraian di Pasaran ACE, terbit 213 juta saham baharu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 9 April — PSP Energy Berhad berusaha untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk membeli kapal tangki minyak dan mengembangkan lagi perniagaan pemindahan bahan api antara kapal ke kapalnya.


Syarikat yang terlibat dalam perkhidmatan perdagangan serta pengedaran produk bahan api dan pelincir di Malaysia itu telah pun memfailkan prospektus untuk penerbitan draf tawaran awam permulaan (IPO) kepada Bursa Malaysia pada hari ini.


IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 213.8 juta saham biasa baharu, dengan tawaran jualan 74.82 juta saham melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).


Dalam makluman kepada bursa, PSP Energy bercadang membeli sebuah kapal tangki untuk mengembangkan perniagaan kerana ia akan membawa kepada jumlah jualan produk bahan api lebih tinggi dan membolehkan syarikat memberi perkhidmatan kepada ramai pelanggan.


Ia berkata bahawa sebahagian daripada hasil IPO berkenaan telah diperuntukkan untuk pembelian kapal tersebut namun harga IPO belum lagi didedahkan oleh syarikat itu.


Sekiranya harga pembelian sebenar kapal tersebut adalah lebih rendah daripada hasil yang diperuntukkan, lebihan akan digunakan pula untuk tujuan pembelian produk bahan api.


Sebagai antara pelan pertumbuhan strategik jangka panjang, sebahagian daripada hasil IPO, yang tidak didedahkan, telah diperuntukkan untuk pembelian produk bahan api, terutamanya minyak diesel dan gas marin, untuk meningkatkan lagi jumlah jualan.


Di bawah cadangan IPO itu, PSP Energy akan memperuntukkan sebanyak 53.44 juta saham untuk orang awam warga Malaysia manakala 48.10 juta saham lagi untuk individu yang berkelayakan.


Sementara itu, 53.44 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur terpilih dan 58.82 juta saham disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh MITI.


Mercury Securities Sdn Bhd dilantik syarikat tersebut sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin, dan ejen penempatan untuk IPO berkenaan. - DagangNews.com