Proton sedia latih 200 bakat R&D di bawah kerjasama lima tahun bersama MARii | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proton sedia latih 200 bakat R&D di bawah kerjasama lima tahun bersama MARii

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 NovProton memeterai kerjasama strategik lima tahun dengan Institut Robotik & IoT Automotif Malaysia (MARii) sempena Ekspo Automotif dan Teknologi Global 2025 (GATE 2025).

 

Perjanjian ini melibatkan penyertaan Proton dalam pembangunan Pusat Ujian Automotif Nasional (NATC) serta program pembangunan bakat berskala besar.

 

Menurut Proton, kerjasama strategik ini akan membuka peluang latihan tersusun kepada 200 jurutera dan kakitangan teknikal R&D syarikat itu, bertujuan memperkukuh keupayaan pembangunan produk dan komponen automotif generasi baharu.

 

Salah satu komponen utama perjanjian adalah komitmen Proton untuk berkongsi kemudahan ujian sedia ada bagi menyokong pembangunan NATC.

 

Melalui kerjasama tersebut, Proton akan menamakan Litar Ujian Separuh Kelajuan Tinggi di Shah Alam dan makmal ujian R&D di Tanjong Malim sebagai sebahagian fasiliti rasmi di bawah NATC.

 

Selain itu, Proton dan MARii turut bersetuju membangunkan kemudahan NATC baharu, dengan kedua-dua pihak menyumbang kepada kos pembinaan. 

 

Pusat ujian bertaraf industri itu akan dibuka kepada pengeluar OEM, pemain industri, institusi penyelidikan serta institusi pengajian tinggi bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan bersama.

 

MARii akan mengetuai operasi dengan sokongan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Proton.

 

Kerjasama membabitkan pembangunan 200 bakat R&D Proton itu dijangka menjadi pemangkin kepada aspirasi negara dalam teknologi kenderaan tenaga baharu (NEV).

 

Dalam jangka panjang, inisiatif ini menyokong usaha memperkasa Lembah Teknologi Automotif Tinggi (AHTV) sebagai hab serantau untuk pengeluaran model dan komponen NEV.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, kerjasama dengan MARii merupakan langkah strategik untuk memajukan industri automotif nasional.

 

Dr. Li Chunrong berkata, perjanjian dengan MARii ini memperkukuh komitmen Proton terhadap industri automotif negara sambil menyumbang ke arah pencapaian matlamat Rancangan Induk Perindustrian Negara.

 

"Kami percaya NATC berpotensi besar dalam melahirkan teknologi dan model baharu serta membantu merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai kuasa automotif serantau," katanya lagi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz pula berkata, MARii komited menyokong agenda perindustrian negara seperti yang dirancang dalam NIMP 2030 dan NAP 2020.

 

"Kerjasama ini bersama Proton memperkukuh keupayaan Malaysia dalam mobiliti generasi baharu menerusi perkongsian kemudahan ujian, pembangunan R&D yang tersusun serta peluasan kapasiti kejuruteraan bagi kenderaan tenaga baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mewakili MARii pada majlis pertukaran dokumen itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, manakala mewakili Proton ialah Eksekutif Program Kenderaan bagi Proton Saga, Desmond Pinto. 

 

Turut menyaksikan majlis ialah Pengerusi MARii, Datuk Aminar Rashid, bersama Naib Presiden Strategi Korporat Proton, Ainol Azmil. - DagangNews.com