Prospek sektor pelabuhan dan logistik 2026 lebih mencabar akibat ketidaktentuan tarif AS, kata Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek sektor pelabuhan dan logistik 2026 lebih mencabar akibat ketidaktentuan tarif AS, kata Kenanga

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 Mac — Prospek sektor pelabuhan dan logistik Malaysia bagi 2026 dijangka berdepan dengan persekitaran yang lebih mencabar berikutan ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat (AS).


Menurut Kenanga Research, pertumbuhan perdagangan global dikhuatiri perlahan sepanjang tahun ini susulan berlaku konflik di rantau Timur Tengah dan perubahan dasar perdagangan antarabangsa.


Katanya, berdasarkan anggaran Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), pertumbuhan jumlah dagangan barangan global dijangka sederhana kepada 0.5% pada 2026, berbanding 1.8% dicatatkan sebelum ini.


"Selain itu, pelaksanaan tarif asas sejagat 10% oleh pentadbiran Presiden AS, Donald Trump pada Februari 2026 dijangka menjadi halangan jangka pendek kepada sektor tersebut," katanya dalam nota.


Justeru, Kenanga menilai kadar tarif sebenar dan skop pelaksanaa masih dalam rundingan perdagangan yang sedang berjalan, sekali gus mewujudkan ketidaktentuan kepada aliran perdagangan global.


Pada masa sama jelas firma penyelidikan tersebut, industri perkapalan di negara ini turut berdepan dengan isu perubahan struktur susulan pelaksanaan dasar karbon antarabangsa mulai 1 Januari 2026.


Peraturan yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan Kesatuan Eropah (EU) melalui mekanisme khas memerlukan kapal mengurangkan intensiti karbon sebanyak 2% setiap tahun.


"Langkah ini dijangka meningkatkan lagi kos operasi kepada syarikat perkapalan tempatan apabila mereka perlu beralih segera kepada penggunaan bahan api bersifat rendah karbon," tambah Kenanga.


pelabuhan


Dalam laporan sektor pelabuhan dan logistik bagi suku keempat 2025 (4Q2025), ia berkata, prestasi syarikat-syarikat dalam sektor tersebut menunjukkan keputusan kewangan yang bercampur-campur.


Antaranya jelas firma penyelidikan berkenaan, Westports Holdings Berhad apabila berjaya mencatat prestasi melebihi jangkaan, dengan disokong kukuh oleh kenaikan tarif pelabuhan tersebut.


Sementara itu ujar Kenanga, keputusan kewangan Bintulu Port Holdings Berhad menepati jangkaannya selepas kompleks Malaysia LNG Sdn Bhd di pelabuhan berkenaan mula kembali beroperasi sepenuhnya.


"Bagaimanapun, Swift Haulage Berhad mencatat keputusan yang mengecewakan berikutan persaingan yang semakin sengit sehingga menjejaskan jualan serta margin keuntungan syarikat berkenaan," katanya.


Pada masa sama jelas firma itu, Pos Malaysia Berhad turut mencatat keputusan di bawah jangkaan disebabkan pelbagai cabaran dalam segmen perkhidmatan logistik serta gangguan operasi kapal.


Keadaan tersebut tambah Kenanga, menunjukkan perjalanan pemulihan syarikat perkhidmatan mel tempatan di bawah DRB-Hicom itu dijangka mengambil masa yang lebih lama daripada unjuran asal.


Walaupun terdapat beberapa faktor sokongan seperti pengalihan perdagangan global dan pertumbuhan e-dagang yang masih berdaya tahan, prospek sektor itu secara keseluruhan kekal tidak menentu.


"Sehubungan itu berdasarkan situasi semasa, kami tidak meletakkan sebarang saham sebagai pilihan utama bagi sektor pelabuhan dan logistik buat masa ini," katanya. - DagangNews.com