KUALA LUMPUR 11 Mac — Prospek Power Root Berhad diunjur berdepan dengan pelbagai halangan seperti kenaikan harga komoditi terutamanya kopi dan biji koko serta pemulihan yang tidak menentu dalam pasaran eksport.
AmInvestment Bank Research berkata, situasi tersebut berikutan kemasukan produk import selari dan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding mata wang tempatan yang telah menghakis daya saing produk kumpulan itu.
Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan mempunyai rancangan mengurangkan kesan kos bahan mentah yang meningkat, dengan memberi panduan mereka telah mengunci harga kopi sehingga pertengahan 2026.
"Power Root juga berhasrat mahu meningkatkan harga jualan purata (ASP) untuk unit penyimpanan stok (SKU) yang terpilih sebanyak enam peratus secara purata pada Mac 2025," kata nota penyelidikan tersebut.
Secara positifnya ujar AmInvestment, tiga produk utama iaitu, Ah Huat, Pearl dan Oligo terus mempamerkan pertumbuhan dan mendapat bahagian pasaran di tengah-tengah kempen boikot berterusan terhadap produk pesaing.
Justeru, firma itu mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) sesaham yang lebih rendah iaitu RM1.20 berbanding RM1.40 berdasarkan sasaran ekuiti persendirian (PE) sebanyak 14 kali tahun kalendar CY26F.
Unjuran itu sejajar dengan purata rekod sejarah lima tahun syarikat berkenaan sebelum ini dan ia juga tidak membuat pelarasan penarafan "neutral" untuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang masih tiga bintang sahaja.
"Power Root merekodkan keputusan 9MFY25 yang mengecewakan kerana faktor perbelanjaan operasi dan kos faedah lain yang didapati lebih tinggi daripada jangkaan asal," kata AmInvestment dalam nota berkenaan.
Semasa taklimat penganalisis, pihak pengurusan Power Root juga memberi petunjuk bahawa prospek semasa kekal mencabar disebabkan oleh harga komoditi yang tinggi dan pemulihan yang tidak teratur dalam pasaran eksport.
Sehubungan itu, firma berkenaan mengurangkan unjuran pendapatan syarikat tersebut sebanyak 16.3 peratus sehingga 33.2 peratus dan meneruskan saranan "pegang" dengan TP yang lebih rendah iaitu kepada RM1.20.
"Oleh kerana keuntungan bersih teras 9MFY25 sebanyak RM23.2 juta adalah meleset, ramalan kami untuk FY25F/FY26F/FY27F masing-masing dipotong sebanyak 20.5 peratus/33.2 peratus/16.3 peratus," kata AmInvestment.
Bagaimanapun ujarnya, Power Root menawarkan dividen yang stabil berdasarkan nisbah pembayaran sebanyak 80 peratus, dengan menghasilkan 4.0 peratus hingga 5.3 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Walaupun pertumbuhan teratas 6.4 peratus, keuntungan bersih teras 9MFY25 turun 23.8 peratus tahun ke tahun (YoY) kepada RM23.2 juta disebabkan oleh perbelanjaan operasi lain yang lebih tinggi dan kos faedah," jelasnya. - DagangNews.com








