KUALA LUMPUR 2 Sept - Prospek jangka panjang IHH Healthcare Bhd (IHH) kekal positif dengan pelan pengembangan agresif menerusi pengambilalihan dan pembukaan hospital baru, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, peluasan kapasiti katil di Hospital Mount Elizabeth Orchard juga dijangka meningkatkan kecekapan dan membuka nilai jangka panjang rangkaian hospital IHH yang sebelum ini telah melengkapkan pengambilalihan Timberland Medical Centre, Island Hospital, Shrimann Superspeciality Hospital, dan Bayindir Healthcare Group.
"Lebih penting, kebanyakan hospital baharu ini mempunyai perkhidmatan pelancongan perubatan yang kukuh, sekali gus memperkukuhkan kedudukan IHH sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan bertaraf antarabangsa," kata firma itu dalam nota penyelidikannya.
Katanya, IHH dijangka terus meraih manfaat daripada trend jangka panjang sektor penjagaan kesihatan global, dengan inisiatif pengembangan dan peningkatan kecekapan yang bakal memastikan pertumbuhan mampan, selari dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti di dalam dan luar negara.
Walaupun keuntungan teras 1HFY25 melebihi jangkaan, prestasi 2HFY25 dijangka lebih sederhana berikutan kesan lindung nilai terhadap inflasi tinggi Lira Turki serta tempoh permulaan hospital baharu.
Namun begitu, firma penyelidikan mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan BELI dengan TP RM8.18, bersandarkan PER 41.8x kepada EPS25 sebanyak 19.6 sen, iaitu premium +0.75SD daripada purata 5 tahun PER IHH (35.2x).
IHH mencatatkan prestasi kewangan 1HFY25 yang kukuh, apabila keuntungan bersih teras melepasi jangkaan syarikat penyelidikan pada kadar 58% dan sejajar dengan konsensus pada 46%. Sehubungan itu, saranan BELI dikekalkan dengan harga sasaran RM8.18 sesaham.
Bagi suku kedua FY25 (2QFY25) pula, IHH merekodkan hasil sebanyak RM6.3 bilion (+3% yoy), manakala bagi separuh pertama FY25 (1HFY25), hasil terkumpul naik kepada RM12.6 bilion (+5% yoy).
Walau bagaimanapun, keuntungan bersih teras (PATAMI) susut kepada RM438 juta (-25% yoy) pada 2QFY25 dan RM1 bilion (-29% yoy) bagi 1HFY25, berikutan kenaikan kos operasi, termasuk kos kakitangan, utiliti dan perbelanjaan pembukaan hospital baharu.
Segmen Hospital & Healthcare (H&H) kekal sebagai tonggak utama, dengan hasil meningkat kepada RM6.1 bilion (+7% yoy) pada 2QFY25 dan RM12.2 bilion (+6% yoy) bagi 1HFY25. EBITDA pula naik 1% yoy kepada RM1.3 bilion (2QFY25) dan RM2.6 bilion (1HFY25).
Pertumbuhan ini didorong oleh permintaan berterusan terhadap perkhidmatan kesihatan berkualiti, peningkatan kes pesakit akut, pelarasan harga untuk mengimbangi inflasi, serta konsolidasi Island Hospital.
"Bagaimanapun, kenaikan kos operasi serta tempoh permulaan hospital baharu seperti Acibadem Kartal (dibuka Feb 2025) dan Acibadem Vitosha (dibuka Mei 2025) sedikit menekan margin keuntungan," kata kenyataan itu. - DagangNews.com








