KUALA LUMPUR 20 Mei — Prospek pertumbuhan PIE Industrial Berhad diramal kekal mencabar disebabkan risiko kesan tarif Amerika Syarikat (AS), kata penganalisis.
Kenanga Research berkata, walaupun terdapat kemajuan dalam melibatkan pelanggan berpotensi, dengan beberapa perbincangan menghampiri peringkat akhir, mereka bergantung kepada dasar perdagangan AS ke arah China dan Asia Tenggara.
Firma penyelidikan itu menurunkan penarafan saham kepada "market perform" daripada "outperfom" disebabkan berlaku peningkatan terhad terhadap saham PIE Industrial selain mengurangkan harga sasaran (TP) kepada RM4.60 sesaham.
"Kami berpandangan konservatif selain beberapa penganalisis juga kurang optimis terhadap prospek kumpulan," katanya dalam satu nota kajian.
Saham PIE Industrial masih susut hampir 30 peratus setakat tahun ini di Bursa Malaysia walaupun ada peningkatan baru-baru ini didorong ketegangan perdagangan antarabangsa dan perang tarif yang seterusnya memberi kesan kepada pelabur.
Lonjakan 55 peratus tahun ke tahun (y-o-y) dalam keuntungan bersih pada suku pertama bagaimanapun membantu syarikat berkenaan dengan kini terdapat dua firma penyelidikan membuat saranan "pegang" ke atas saham PIE Industrial.
Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan saranan "beli" dengan TP secara konsensus ialah RM4.51, berdasarkan purata daripada tiga firma yang mencadangkan kenaikan hanya 5 peratus daripada harga semasa.
Katanya, pengurusan PIE Industrial dilaporkan lebih cenderung ke arah negatif dengan pertumbuhan hasil kumpulan itu yang mungkin perlu ditangguhkan lagi, kerana bakal pelanggan didapati terus mengamalkan sikap tunggu dan lihat.
"Kami masih memihak kepada prospek syarikat, disokong oleh kemenangan pelanggan berpotensi dan pentauliahan kemudahan baharunya," kata Maybank IB yang turut mengurangkan unjuran hasil dan mengurangkan TP kepada RM4.70 sesaham.
Minggu lalu, PIE Industrial berkata Kilang 6 diusahakannya bersedia untuk pengeluaran suis secara besar-besaran yang akan menjadi penting dalam meningkatkan hasil kumpulan dan prestasi margin keuntungan tahun-tahun akan datang.
Syarikat tersebut juga mendedahkan ia sedang dalam pelbagai peringkat perbincangan untuk beberapa lagi bentuk perniagaan baharu yang utama. - DagangNews.com








