KUALA LUMPUR 24 Mac - Prospek jangka pendek Cypark Resources Berhad terus bergantung kepada keupayaannya memenangi tender kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM4.4 billion yang telah dibida sebelum ini, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘HOLD’ dengan harga sasaran berasaskan jumlah bahagian (SOTP) tidak berubah pada RM0.69, meskipun prestasi kewangan terkini bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 (9MFY26) berada di bawah jangkaan.
Cypark mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM77.6 juta bagi 9MFY26, lebih rendah berbanding kerugian RM93.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Namun, prestasi tersebut masih tersasar daripada jangkaan berikutan hasil yang lebih lemah daripada segmen kejuruteraan mampan.
Sehubungan itu, unjuran kerugian bersih teras bagi FY26E disemak lebih tinggi kepada RM98.9 juta berbanding RM82.8 juta sebelum ini, susulan semakan turun unjuran hasil EPCC dan jangkaan pemulihan lebih beransur-ansur bagi segmen waste-to-energy (WtE).
Penukaran EPCC jadi kunci pertumbuhan
Menurut Maybank IB, hala tuju pendapatan jangka terdekat Cypark amat bergantung kepada kejayaan menukar buku tender bernilai RM4.2 bilion kepada kontrak sebenar, khususnya dalam projek solar berskala besar dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
“Penukaran kontrak EPCC kekal menjadi pemacu utama kepada peningkatan pendapatan dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu nota kajian.
Bagi FY27E, Maybank IB mengunjurkan pengisian semula kontrak EPCC sekitar RM900 juta, yang dilihat penting untuk menyokong pemulihan prestasi kewangan kumpulan.
Kerugian mengecil disokong RE dan WtE
Bagi 9MFY26, kerugian yang lebih kecil disumbangkan oleh peningkatan hasil dalam segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 9.8% tahun ke tahun (YoY) serta segmen WtE yang meningkat 16.9% YoY.
Prestasi lebih baik ini didorong oleh kecekapan operasi aset serta kenaikan caj tipping fee bagi loji WtE, sekali gus membantu mengimbangi kejatuhan mendadak hasil segmen kejuruteraan mampan yang susut 98.5% YoY susulan penyiapan projek Hospital Rawang.
Selain itu, kos pembiayaan yang lebih rendah serta kadar cukai efektif yang menurun turut menyumbang kepada pengurangan kerugian keseluruhan.
Pengembangan WtE fasa 2 berpotensi tambah nilai
Dalam perkembangan lain, Cypark telah memeterai perjanjian dengan kerajaan bagi memajukan projek pengembangan SMART WtE Fasa 2.
Bagaimanapun, butiran projek masih belum dimuktamadkan dan tertakluk kepada rundingan lanjut.
Menurut Maybank IB, sekiranya dilaksanakan, pengembangan tersebut dijangka meningkatkan keterlihatan pendapatan masa hadapan, namun masih belum dimasukkan dalam unjuran semasa.
Firma penyelidikan itu berpandangan, antara risiko kenaikan kepada unjuran termasuk keupayaan Cypark memperbaiki rekod pelaksanaan projek EPCC berskala besar, yang boleh mempercepatkan penukaran kontrak serta memperkukuh trajektori pendapatan kumpulan. - DagangNews.com








