KUALA LUMPUR 13 Mac - Penganalisis mengekalkan unjuran pendapatan Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028 (FY26–FY28) susulan prospek jualan hartanah yang kekal stabil serta strategi syarikat memperluaskan segmen perindustrian.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, andaian jualan bagi FY26 juga dikekalkan pada RM4.2 bilion, mencerminkan keyakinan terhadap prestasi jualan projek-projek utama syarikat.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan itu, anggaran nilai aset bersih nyata semula (RNAV) sesaham disemak sedikit lebih rendah kepada RM3.26 berbanding RM3.27 sebelum ini selepas mengambil kira harga sasaran (TP) yang lebih rendah bagi unit berkaitan, iaitu sebanyak RM0.18 berbanding RM0.235 sebelum ini.
"Dalam masa sama, EcoWorld terus memperkukuh asas pendapatan berulang dengan merancang pembangunan beberapa aset runcit sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mempelbagaikan sumber pendapatan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut Maybank IB, EcoWorld memulakan tahun kewangan 2026 (FY26) dengan kukuh apabila mencatatkan peningkatan ketara dalam keuntungan bersih pada suku pertama berakhir Januari 2026.
Syarikat pemaju hartanah itu merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak RM157.1 juta pada 1QFY26, meningkat 96% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dan 26% lebih tinggi berbanding suku sebelumnya.
Prestasi itu didorong terutamanya oleh pengiktirafan jualan tanah perindustrian di projek taman perindustrian seperti Eco Business Park 1 (EBP1), Eco Business Park V (EBPV) dan Quantum Edge Business Park (QEBP), yang dimeterai masing-masing pada Ogos 2024 dan Februari 2025.
Sementara itu MBSB Research yang turut mengekalkan unjuran pendapatan EcoWorld bagi FY26, FY27 dan FY28 berkata, prospek pendapatan pada FY26 dijangka lebih baik disokong oleh pengiktirafan kira-kira RM1 bilion jualan tanah.
Menurutnya, baki jualan tanah yang masih belum diiktiraf dianggarkan sekitar RM400 juta, yang dijangka terus menyokong prestasi kewangan syarikat.
“Pada masa sama, sumbangan hasil sewaan daripada pusat data Pearl Computing dijangka menjadi pemangkin pendapatan baharu selepas FY27 memandangkan projek pusat data tersebut dijangka siap menjelang akhir FY27,” katanya.
Sementara itu, harga sasaran (TP) bagi saham EcoWorld disemak sedikit kepada RM2.20 berbanding RM2.21 sebelum ini selepas firma tersebut mengeluarkan sumbangan nilai aset bersih boleh direalisasi (RNAV) daripada 22.7 ekar tanah komersial di Semenyih susulan penamatan perjanjian jual beli (SPA) bagi tanah berkenaan.
Harga sasaran itu ditetapkan berdasarkan diskaun 10% kepada RNAV.
MBSB mengekalkan saranan “Neutral” terhadap saham EcoWorld kerana berpandangan kebanyakan faktor positif telah pun diambil kira dalam harga semasa saham syarikat tersebut.
Katanya, saham EcoWorld kini diniagakan pada premium sekitar 22% berbanding nilai aset ketara bersih (NTA) terkini sebanyak RM1.72, sekali gus menunjukkan potensi kenaikan harga saham yang agak terhad dalam tempoh terdekat.
Sementara itu Maybank IB menambah, EcoWorld dilihat aktif meneroka peluang pemerolehan tanah perindustrian baharu bagi memperluaskan lagi pendedahan dalam segmen tersebut.
Ia selaras dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap pembangunan perindustrian dan logistik.
Dari sudut kedudukan kewangan katanya, nisbah gear bersih EcoWorld kekal kukuh pada paras 0.17 kali pada akhir suku pertama FY26, berbanding 0.28 kali pada akhir suku keempat FY25, sekali gus memberi ruang kepada syarikat untuk meneruskan pelaburan strategik pada masa hadapan. - DagangNews.com








