KUALA LUMPUR 3 Jun — Prospek jualan domestik dan eksport Ann Joo Resources Berhad dijangka kekal lemah pada suku kedua 2025 berikutan isu ketidaktentuan tarif terus menekan kumpulan tersebut, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, industri keluli tempatan juga sedang memantau dengan teliti sebarang kesan tidak langsung daripada potensi pengalihan produk keluli China di pasaran Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun katanya, China hanya mengeksport kira-kira 40,000 tan produk keluli panjang ke AS sepanjang 2024, yang menyumbang kurang sebanyak 0.1 peratus daripada keseluruhan jumlah pasarannya di dunia.
"Dari segi permintaan, aliran tempahan Ann Joo boleh bertambah baik dibantu pelancaran secara beransur-ansur pelbagai projek inisiatif infrastruktur utama di Malaysia," kata CIMB Securities dalam nota kajian.
Selain itu tambah firma berkenaan, kumpulan tersebut turut menerima beberapa lagi kontrak besar di Singapura yang bernilai antara S$35 bilion hingga S$39 bilion (kira-kira RM115.5 bilion hingga RM128.7 bilion).
Sehingga 29 Mei 2025, harga rebar tempatan merosot kepada RM2,422 setiap tan berbanding kira-kira RM2,800 pada November 2024, tetapi masih kekal 32 peratus lebih tinggi daripada harga di China, iaitu RM1,830.
CIMB Securities bagaimanapun menjangkakan pemotongan pengeluaran di China yang dirancang pengilang di negara itu akan memberi sokongan kepada pasaran keluli global jika dilakukan pada separuh kedua tahun ini.
Sementara itu, firma tersebut berkata, keputusan suku pertama Ann Joo meleset daripada jangkaannya, dengan kerugian teras sebanyak RM109 juta berikutan hasil merosot kira-kira 18 peratus tahun ke tahun.
Ia mengaitkan prestasi lebih lemah berikutan harga dan jualan rendah, ekoran kebimbangan baharu terhadap tarif timbal balik dikenakan pentadbiran AS, melemahkan sentimen dalam pasaran keluli antarabangsa.
"Kami mengunjurkan Ann Joo kerugian untuk tahun kewangan 2025 kira-kira RM178 juta dan mengurangkan anggaran keuntungan teras FY25 kepada FY26 hingga 8 peratus kepada antara RM64 juta dan RM87 juta," katanya.
Berikutan penurunan ramalan pendapatan itu, CIMB Securities menurunkan harga sasaran untuk Ann Joo kepada 83 sen daripada RM1.02 sambil mengekalkan saranan "beli" ke atas saham itu. - DagangNews.com








