KUALA LUMPUR 27 Nov – Genting Plantations Berhad mencatatkan keuntungan teras bagi sembilan bulan pertama 2025 (9M25) yang melebihi jangkaan, disokong oleh purata harga jualan (ASP) minyak sawit dan isirung sawit yang lebih baik daripada jangkaan, kata penganalisis.
Maybank Investment Bank berkata, PATMI teras 9M25 syarikat itu meningkat 48.6% kepada RM271 juta walaupun keuntungan suku ketiga (3QFY25) menurun secara suku ke suku disebabkan harga jualan lebih rendah, namun diimbangi oleh peningkatan pengeluaran.
“Keuntungan teras 3QFY25 adalah RM92 juta meningkat 40% berbanding 3QFY24 dan naik 60% daripada 2QFY25.
“Segmen ladang Genting Plantations terus menjadi penyumbang utama dengan EBITDA sebanyak RM205 juta manakala segmen hartanah mencatatkan peningkatan jualan dan bil kemajuan yang kukuh, dengan jualan hartanah melonjak kepada RM147 juta terutamanya daripada projek di Kulai dan Batu Pahat.
“Oleh itu, kami mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM6.87 dengan dividen menarik lebih 5% dan prospek pengeluaran tandan buah segar (FFB) dijangka memuncak pada 4QFY25," kata Maybank Ib dalam nota kajiannya.
Namun, firma itu mengingatkan syarikat menghadapi risiko termasuk turun naik harga minyak sawit mentah (MSM), polisi kerajaan dan faktor cuaca yang boleh menjejaskan pengeluaran,” kata Maybank IB.
Sementara itu, MBSB Research turut mengekalkan saranan ‘Beli’ dengan harga sasaran RM5.81 berdasarkan EPS FY26F sebanyak 38.7 sen dan PER 15x, selaras purata sejarah dua tahun.
Firma penyelidikan itu berkata, Genting Plantations dijangka kekal menguntungkan pada tahun kewangan 2025 dan seterusnya.
MBSB Research berkata, harga jualan purata (ASP) MSM FY25E disemak semula kepada RM4,330/MT daripada RM4,000/MT sebelum ini, manakala ASP FY26E dijangka RM4,100/MT.
“Pengeluaran FFB bagi FY25E dijangka menurun kepada 2.002 juta tan (-6.9% daripada jangkaan sebelumnya) akibat corak penuaian yang tertunda, tetapi dijangka meningkat semula sebanyak 6% dan 5% pada FY26E dan FY27E.
“Keuntungan teras (core PATMI) bagi FY25E dijangka meningkat kepada RM347 juta (+6.7% daripada unjuran lama), manakala FY26E dijangka sedikit menurun kepada RM343 juta (-0.3%). Dividen bersih FY25E dijangka sebanyak 27.1 sen dengan hasil 5.4%.
“Secara keseluruhan, MBSB Research menilai syarikat ini mempunyai prospek kukuh, disokong oleh ASP MSM yang lebih tinggi, operasi huluan yang stabil, dan pertumbuhan pengeluaran yang pulih pada tahun-tahun mendatang,” kata firma itu. - DagangNews.com








