Prospek ekuiti 2026 kekal cerah dipacu pemulihan berterusan ekonomi global, domestik - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek ekuiti 2026 kekal cerah dipacu pemulihan berterusan ekonomi global, domestik - RHB Research

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 2 Dis – Pasaran ekuiti dijangka terus berada di landasan positif menjelang 2026, dipacu oleh jangkaan pemulihan berterusan dalam ekonomi global dan domestik selain faktor-faktor sokongan yang semakin jelas dalam pasaran serantau, menurut RHB Research.

 

Dalam laporan analisis strategi hari ini , firma penyelidikan itu berkata, asas kepada pandangan optimis ini merangkumi prospek makroekonomi dunia dan Malaysia yang kekal berdaya tahan, perkembangan lebih jelas mengenai tarif perdagangan global serta tanda-tanda pengurangan ketegangan antara Amerika Syarikat dan China.

 

"Pasaran juga menjangkakan permulaan kitaran penurunan kadar faedah di AS, yang lazimnya menjadi pemangkin utama kepada peningkatan selera risiko dalam pasaran ekuiti global.

 

 

 

 

 

 

"Di Malaysia, komitmen kerajaan terhadap agenda reformasi, inisiatif pertumbuhan yang merangsang pola penggunaan stabil, serta suasana politik domestik yang lebih teratur turut meningkatkan keyakinan pelabur," katanya.

 

Selain itu, RHB menegaskan kecairan domestik yang masih kukuh menjadi sokongan penting kepada pasaran, sekali gus mengurangkan risiko kejatuhan mendadak dalam ekuiti tempatan.

 

Namun begitu, beberapa risiko utama terus diperhatikan. Antaranya ujar RHB ialah kemungkinan ekonomi Amerika Syarikat tumbuh di bawah jangkaan serta potensi pembetulan dalam pasaran kewangan AS yang ketika ini dipacu oleh sektor kecerdasan buatan (AI).

 

"Situasi sebegini berpotensi menjejaskan sentimen pelabur global dan mencetuskan penyusunan semula jangkaan makroekonomi," tambahnya.

 

 

 

 

 

 

Sehubungan itu, pelabur disaran kekal 'nimble', memanfaatkan peluang dalam saham ketinggalan serta mengambil kesempatan mengumpul saham pilihan apabila berlaku kelemahan sementara dalam pasaran.

 

Bagi prospek sektor, RHB mengekalkan pendirian OVERWEIGHT terhadap beberapa sektor utama termasuk perbankan, tenaga, pengguna, penjagaan kesihatan, hartanah, bahan asas, pembinaan, M-REITs dan teknologi, yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan ekuiti domestik dalam tahun mendatang. - DagangNews.com