KUALA LUMPUR 31 Mac — Jangkaan perolehan kontrak bekalan insulin baharu dalam masa terdekat dilihat sebagai pemangkin utama yang mampu memperkukuh pertumbuhan Duopharma Biotech Berhad.
Menurut TA Securities, prospek kumpulan itu bagi tahun kewangan 2026 (FY26) diyakini teguh, dan firma penyelidikan tersebut menjangkakan kontrak baharu selama tiga tahun akan dimeterai tidak lama lagi.
Tambahnya, tempoh kontrak interim selama tiga bulan yang bernilai RM65.1 juta bagi pembekalan insulin manusia kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan tamat pada 15 Mei 2026.
“Kontrak baharu ini pula berkemungkinan dilaksanakan melalui model dua pembekal antara Duopharma dan Pharmaniaga Berhad, selaras dasar KKM,” kata firma penyelidikan tersebut dalam nota hari ini.
Berdasarkan rekod terdahulu, sekitar 80% bekalan insulin manusia KKM diperoleh melalui Duopharma, manakala selebihnya daripada Novo Nordisk yang kini sudah keluar daripada pasaran insulin manusia.
Segmen ini jelas TA Securities, dijangka menyumbang sekitar 9% hingga 11% kepada hasil kumpulan bagi FY26, bersandarkan rekod positif pada FY25 yang turut menjadi tahun prestasi cemerlang.
Ujarnya, syarikat mencatat keuntungan bersih melonjak 39.6% kepada RM87.5 juta, dipacu peningkatan hasil sebanyak 14.5% kepada RM931.7 juta, serta disokong peningkatan jualan merentas semua segmen.
"Ini termasuk harga bahan aktif farmaseutikal (API) serta pengukuhan nilai ringgit, dengan sektor awam kekal penyumbang hasil utama iaitu 54%, diikuti sektor swasta (40%) dan eksport (6%)," katanya.

Bagi FY26 katanya, keuntungan bersih dijangka berkembang kepada RM101.4 juta, didorong permintaan berterusan daripada sektor kerajaan, khususnya kontrak senarai pembelian produk diluluskan (APPL).
Tender itu menurut TA Securities, bernilai kira-kira RM684.2 juta sehingga 31 Disember 2026, dan Duopharma sudah mengemukakan bidaan bagi APPL baharu dengan nilai kontrak dijangka lebih tinggi.
Dalam pada itu, impak konflik rantau Timur Tengah terhadap operasi syarikat masih terkawal setakat ini, disokong oleh stok simpanan API antara tiga hingga enam bulan serta pengukuhan nilai ringgit.
"Konflik ini meningkatkan kos input utama dengan harga API naik hingga 30%, selain kos pembungkusan dan diesel, namun jika berlarutan, tekanan margin kemungkinan berlaku," jelas firma berkenaan.
Bagaimanapun kata TA Securities, Duopharma berupaya memindahkan kos produk tertentu dalam segmen swasta, dan margin keuntungan kasar dijangka stabil 38.7% bagi FY26 berbanding 39.0% pada FY25.
Dari segi eksport, hasil naik sedikit kepada RM59.9 juta pada FY25, kerana kelewatan penghantaran akibat konflik, dengan ASEAN masih kekal sebagai pasaran utama yang melibatkan sumbangan 89%.
Permintaan terhadap produk halal Duopharma di pasaran Indonesia juga diramal meningkat, disokong oleh keperluan pematuhan penuh standard halal bagi produk 'over-the-counter' menjelang 2027.
"Justeru kami mengekalkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY28 serta mengulangi saranan 'beli' ke atas saham syarikat ini dengan harga sasaran (TP) RM1.72 sesaham," kata TA Securities. - DagangNews.com








