KUALA LUMPUR 17 Mac – Southern Cable Group Bhd berada pada kedudukan strategik untuk mendapat manfaat daripada kitaran peningkatan grid elektrik negara yang semakin pesat, didorong oleh pelaburan infrastruktur tenaga dan pertumbuhan pusat data, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata syarikat pengeluar kabel itu menjadi proksi utama kepada peningkatan rangkaian grid di Malaysia, dengan permintaan kabel kuasa dijangka kekal kukuh dalam tempoh sederhana berikutan beberapa perjanjian bekalan tenaga yang telah dimeterai.
"Setakat ini, kira-kira 3GWac Perjanjian Bekalan Tenaga (ESA) telah ditandatangani dalam saluran projek, sekali gus menyokong prospek permintaan bagi kabel kuasa yang merupakan komponen penting dalam sistem penghantaran elektrik," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu yang memulakan liputan terhadap Southern Cable mengemukakan saranan “Outperform” serta harga sasaran RM2.71, yang dianggap tertinggi dalam kalangan jangkaan pasaran ketika ini.
Menurut Kenanga, penilaian semasa saham syarikat masih berada pada tahap kemasukan yang menarik dan berpotensi meningkat ke paras lebih tinggi apabila aliran pesanan baharu terus bertambah.
Tempahan Kabel Kuasa Dijangka Meningkat
Dalam masa sama, segmen kabel kuasa dijangka menjadi antara penerima manfaat utama di bawah pelan kawal selia baharu oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pelaksanaan laluan Green Lane oleh TNB bagi mempercepatkan sambungan grid pusat data kepada sekitar 12 bulan berbanding 36 hingga 48 bulan sebelum ini dijangka mempercepatkan proses perolehan kabel kuasa.
Kata Kenanga, perkembangan tersebut telah mula diterjemahkan melalui variasi pesanan (VO) bernilai kira-kira RM121 juta yang diperoleh dalam tempoh setahun.
Di bawah kitaran pelaburan grid RP4, Southern Cable telah memperoleh kontrak bernilai RM404 juta, meningkat 21.7% berbanding kitaran sebelumnya, disokong oleh peratusan lebih tinggi kabel voltan sederhana yang menawarkan margin lebih baik.
"Dengan sekitar 80% hingga 85% perbelanjaan modal bersyarat TNB dijangka diaktifkan sepanjang tempoh RP4, penganalisis menjangkakan kitaran tender kedua berpotensi dilancarkan menjelang akhir tahun ini, sekali gus mempercepatkan lagi perolehan kabel," kata Kenanga.
Selain itu, peluasan kapasiti pengeluaran syarikat sebanyak kira-kira 12% selepas penstrukturan semula industri meletakkan Southern Cable antara pemain tempatan yang paling berpotensi memanfaatkan peningkatan permintaan.

Harga Polimer dan Kabel 132kV
Dalam pada itu, kebimbangan terhadap kenaikan harga polimer yang digunakan sebagai bahan mentah utama dilihat masih terkawal.
Analisis sensitiviti menunjukkan pendapatan syarikat hanya akan terjejas sekiranya harga polimer melebihi RMB9,500 setiap tan metrik, berbanding paras semasa sekitar RMB8,500 setiap tan metrik.
Risiko tersebut juga dikurangkan oleh struktur kontrak yang membolehkan kira-kira 70% hasil dipindahkan kepada pelanggan melalui mekanisme pelarasan kos, selain inventori polimer yang mencukupi untuk menampung pengeluaran sehingga separuh pertama tahun kewangan 2026.
Dalam perkembangan lain, Southern Cable kini berada di peringkat akhir pensijilan bagi kabel berdiameter besar 132kV sehingga 1,800 milimeter persegi, yang dijangka siap menjelang separuh kedua 2026.
Pensijilan tersebut dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan baharu kerana hanya beberapa pemain tempatan mampu membekalkan kabel berspesifikasi tinggi itu.
Permintaan bagi kabel tersebut didorong oleh tiga faktor utama iaitu peningkatan kapasiti grid di bawah RP4 TNB, peluasan projek solar berskala utiliti serta pertumbuhan pusat data bertaraf Tier 4 yang memerlukan bekalan tenaga lebih stabil dan berkapasiti tinggi.
Dengan margin lebih tinggi bagi kabel 132kV, Kenanga berpendapat potensi peningkatan pendapatan ini masih belum diambil kira sepenuhnya oleh pasaran. - DagangNews.com








