Prospek Aeon Malaysia diyakini cerah disokong segmen pengurusan hartanah - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Aeon Malaysia diyakini cerah disokong segmen pengurusan hartanah - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 April — Prospek Aeon Co (Malaysia) Berhad diramal kekal cerah disokong pertumbuhan dalam segmen pengurusan hartanahnya, kata RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, pertumbuhan itu didorong pengembangan secara berterusan dan pengembalian sewa di atas industri susulan usaha peningkatan aset miliknya.


Katanya, segmen runcit terus memberikan prestasi stabil, disokong perbelanjaan pengguna yang lebih berdaya tahan dan pengembangan margin daripada inisiatif kawalan kos.


"Perkembangan semasa ini menarik bagi pelabur yang mencari pendedahan bertumpu domestik di tengah-tengah peningkatan ketidaktentuan pasaran global," katanya dalam satu nota kajian.


Walaupun pasaran kini menjangkakan kadar pemotongan kadar faedah Amerika Syarikat (AS), RHB Research percaya, persekitaran global kekal menyokong strategi pertumbuhan Aeon Malaysia.


Ia berkata, usaha pengubahsuaian berterusan kumpulan itu juga terus menarik penyewa yang popular, memacu langkah baik bagi menyokong kadar kukuh penghunian dan pengembalian sewa.


Justeru, firma itu mengekalkan unjuran pertumbuhan jualan runcit tiga peratus konservatif berbanding unjuran industri iaitu 4.3 peratus untuk 2025 daripada 3.8 peratus pada 2024.


"Kami percaya Aeon Malaysia mendapat manfaat daripada perbelanjaan pengguna, disokong faktor gaji pekerja lebih tinggi dan peningkatan bantuan tunai kumpulan berpendapatan rendah," katanya.


RHB Research mengekalkan ramalan pendapatannya untuk Aeon Malaysia dan mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran sebanyak RM1.75 sesaham.


Selain itu, firma penyelidikan itu tersebut juga menjangka kumpulan berkenaan melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM60 juta hingga RM65 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25).


"Ini didorong oleh jualan lebih kukuh menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang menarik perbelanjaan dipacu perayaan di samping pengembangan margin daripada inisiatif kos berterusan," katanya. - DagangNews.com