KUALA LUMPUR 2 Mac - Proses kelulusan yang lebih perlahan daripada jangkaan sehingga menjejaskan pelancaran beberapa projek utama menyebabkan Mah Sing Group Bhd tidak mencapai sasaran jualan baharu sebanyak RM2.65 bilion bagi FY25, menurut penganalisis.
Bagaimanapun kumpulan tersebut tetap mencatatkan rekod jualan hartanah baharu sebanyak RM2.51 bilion pada FY25, berbanding RM2.4 bilion yang dicatatkan pada FY24.
Sehubungan itu firma penyelidikan MBSB Research dan RHB Research mengekalkan saranan BELI ke atas saham Mah Sing berdasarkan prospek jangka panjang yang kekal disokong oleh jualan stabil rumah mampu milik.
RHB Research mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran (TP) baharu RM1.65 berbanding RM1.60 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan sekitar 41% serta jangkaan hasil dividen kira-kira 5% bagi FY26F.
Katanya, keputusan kewangan suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (4Q25) bagaimanapun dilihat berada di bawah jangkaan apabila jualan keseluruhan FY25 berjumlah RM2.51 bilion, tidak mencapai sasaran pengurusan RM2.65 bilion.
Menurut firma itu, kekurangan tersebut berpunca terutamanya daripada proses kelulusan yang lebih perlahan daripada jangkaan sehingga menjejaskan pelancaran beberapa projek utama.
“Bagi FY26, pengurusan menetapkan sasaran jualan lebih tinggi sebanyak RM2.76 bilion, didorong pelancaran projek-projek yang sebelum ini tertangguh,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Menurut RHB, nilai jualan belum dibilkan turut meningkat kepada RM3.24 bilion berbanding RM3.14 bilion pada akhir 3Q25, memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih baik untuk tempoh akan datang.
Sementara itu MBSB Research berkata, walaupun jualan baharu FY25 tidak mencapai sasaran, momentum jualan dijangka bertambah baik pada FY26, disokong permintaan stabil bagi segmen rumah mampu milik.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI terhadap Mah Sing dengan harga sasaran disemak kepada RM1.49 berbanding RM1.52 sebelum ini.
Semakan itu dibuat selepas unjuran pendapatan FY26 dan FY27 diturunkan masing-masing sebanyak 5% dan 3.5%, selain pelarasan andaian margin yang lebih konservatif serta peluasan diskaun RNAV kepada 40% daripada 38%.
Secara keseluruhan, prospek jangka panjang kumpulan kekal positif sejajar strategi berterusan memfokuskan pembangunan kediaman mampu milik di lokasi strategik.
MBSB berkata, bagi FY26, kumpulan menetapkan sasaran jualan baharu RM2.76 bilion, disokong oleh pelancaran projek bernilai RM3.45 bilion.
Antara projek yang dijadualkan dilancarkan termasuk M Aria di Sentul, M Aurora di Old Klang Road, M Mira di Setapak, M Hana di Puchong, pembangunan di tapak Corus Hotel di Jalan Ampang, M Tiara 2 di Mukim Pulai serta M Cora di Georgetown. - DagangNews.com








