Propel Global cadang terbit saham baharu sasar kutipan RM6.57 juta untuk modal kerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Propel Global cadang terbit saham baharu sasar kutipan RM6.57 juta untuk modal kerja

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Julai – Penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Propel Global Bhd mencadangkan penempatan persendirian melibatkan sehingga 73.02 juta saham baharu bersamaan kira-kira 10 peratus daripada jumlah saham terbitan bagi mengumpul dana sehingga RM6.57 juta untuk keperluan modal kerja.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, sebanyak RM2 juta daripada hasil kutipan akan digunakan untuk mendapatkan jaminan bank bagi menyertai tender projek baharu seperti sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) marin serta perkhidmatan pembinaan.

 

"Baki sebanyak RM4.48 juta pula diperuntukkan bagi menampung perbelanjaan pentadbiran am seperti gaji kakitangan, skim pemisahan sukarela, sewaan dan utiliti.

 

"Selain itu, RM90,000 atau kira-kira 1.4 peratus akan digunakan bagi menampung kos berkaitan penempatan tersebut termasuk yuran profesional dan peraturan," katanya.

 

Propel Global yang juga terlibat dalam penyediaan perkhidmatan teknikal dan penyelenggaraan bangunan serta penyelesaian ICT berkata dana ini akan menyokong operasi sedia ada dan akan datang dalam semua segmennya.

 

Penempatan saham itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan. 

 

Harga terbitan bagi setiap tranche akan ditetapkan secara berasingan dan tidak akan melebihi diskaun 10 peratus daripada purata harga wajaran volum lima hari dagangan saham PGB sebelum tarikh penetapan harga.

 

Jumlah hasil kutipan disasarkan berdasarkan harga indikatif sembilan sen sesaham iaitu diskaun 7.5 peratus daripada VWAP lima hari sebanyak 9.73 sen setakat 30 Jun.

 

UOB Kay Hian (Malaysia) Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat dan ejen penempatan bagi cadangan tersebut yang dijangka selesai pada suku pertama 2026 tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.- DagangNews.com