KUALA LUMPUR 24 Mac – Kelulusan yang diterima Gas Malaysia Bhd daripada Suruhanjaya Tenaga Malaysia untuk meneruskan projek cadangan terminal regasifikasi gas cecair (LNG) di Yan, Kedah diyakini membuka aliran pendapatan jangka panjang yang stabil bagi syarikat, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata projek tersebut dilihat sebagai perkembangan positif yang signifikan bagi Gas Malaysia, yang akan turut menyokong perniagaan pengedaran gas teras yang sememangnya sudah kukuh.
Gas Malaysia telah memperoleh surat kelulusan untuk memulakan pembangunan terminal tersebut, tertakluk kepada pematuhan syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Terminal LNG yang dicadangkan akan dibangunkan sebagai unit penyimpanan dan regasifikasi terapung di luar pesisir, dengan kapasiti sehingga enam juta tan setahun (MTPA).
“Kos pelaburan dianggarkan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion. Berdasarkan andaian pelaburan RM3 bilion, konsesi selama 20 tahun dan kadar pulangan dalaman sebanyak 10 peratus, kami menjangka projek ini boleh menambah 73 sen sesaham kepada nilai Gas Malaysia, dengan syarikat memegang 55 peratus kepentingan,” kata Kenanga Research dalam nota kajiannya.
Terminal ini juga dijangka menghasilkan nilai bersih semasa (NPV) sebanyak RM1.71 bilion, dengan andaian penggunaan terminal 70 peratus, nisbah hutang kepada ekuiti 80:20, dan kos modal purata 6.3 peratus.
Kenanga Research berkata keupayaan kewangan Gas Malaysia yang kukuh, dicerminkan oleh nisbah hutang bersih rendah sebanyak 0.09 kali, menunjukkan syarikat mempunyai kapasiti mencukupi untuk melaksanakan projek ini.
“Walaupun tarikh siap projek belum diumumkan, kami menjangkakan terminal akan beroperasi menjelang 2030, sejajar dengan permintaan gas yang meningkat, terutamanya disebabkan perkembangan pusat data di negara ini.
“Dari segi sensitiviti pendapatan, kami berpandangan kenaikan harga minyak global dijangka memberi kesan minimal ke atas keuntungan Gas Malaysia.
“Meskipun harga Brent melebihi AS$100 setong akibat ketegangan geopolitik, keuntungan syarikat kekal stabil kerana mekanisme harga kos-plus yang mengaitkan harga gas dengan harga rujukan gas Malaysia,” kata firma tersebut.
Sebagai contoh, kenaikan 10 peratus dalam harga rujukan gas hanya dijangka meningkatkan keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2026 sebanyak RM6 juta atau kira-kira 1.5 peratus daripada unjuran RM406.8 juta.
Keuntungan Gas Malaysia dijangka disokong oleh pemulihan jumlah jualan gas selepas insiden kebakaran di Putra Heights, selain permintaan yang stabil daripada pelanggan sedia ada.
Kenanga menjangkakan pertumbuhan jualan gas antara 2.0 peratus hingga 7.7 peratus bagi tahun kewangan 2026 hingga 2027, selari dengan pemulihan pasaran dan peningkatan permintaan tenaga.
Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan "Market Perform" terhadap saham Gas Malaysia dan menaikkan sasaran harga daripada RM4.50 kepada RM5.23 susulan projek Yan RGT.
Saham syarikat kekal disokong oleh kontrak jangka panjang, aliran tunai yang kukuh, dan hasil dividen melebihi empat peratus.
Bagaimanapun, risiko yang perlu dipertimbangkan termasuk perubahan peraturan kerajaan, tekanan margin dalam segmen tidak dikawal, serta kemungkinan kelembapan permintaan akibat kegawatan ekonomi. - DagangNews.com








