Projek SMART600 kendalian MCMC, SDEC ubah landskap digital Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek SMART600 kendalian MCMC, SDEC ubah landskap digital Sarawak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Julai - Projek SMART600 bakal mengubah landskap digital luar bandar Sarawak dan mempercepatkan kesalinghubungan digital yang inklusif untuk rakyatnya.

 

Projek tersebut adalah kolaborasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SDEC) untuk memberi manfaat kepada komuniti luar bandar di Sarawak.

 

Jalinan kerjasama MCMC dengan SDEC untuk projek SMART600 itu dizahirkan menerusi satu majlis menandatangani perjanjian yang berlangsung di Ibu Pejabat MCMC di Cyberjaya hari ini. 

 

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Datuk Ir. Ts. Sudarnoto Osman.

 

test

 

Pelaksanaan projek SMART600 membuktikan komitmen kerajaan dalam menyokong keperluan aktiviti seharian rakyat Sarawak seperti keperluan pendidikan, kesihatan, aktiviti ekonomi digital dan komunikasi harian.

 

Di bawah Projek SMART600 ini, sebanyak 600 menara komunikasi baharu disasarkan akan dibina melalui dua fasa yang menyediakan perkhidmatan mudah alih 4G berkualiti tinggi kepada lebih 1,000 lokasi luar bandar.

 

Ia akan memberi manfaat kepada lebih 180,000 komuniti Sarawak seperti di Belaga, Marudi, Sungai Belawai, Kapit dan Sungai Encheremin.

 

MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif itu bertujuan merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dengan pedalaman.

 

"Setakat ini, 587 menara telah pun siap dibina. Daripada jumlah tersebut, 431 menara telah diaktifkan dengan teknologi canggih Multi-Operator Core Network (MOCN) dan selebihnya akan diaktifkan secara berperingkat.

 

"Selain itu, akses kepada internet berkelajuan tinggi akan dipertingkatkan bagi menyokong aplikasi yang memerlukan penggunaan data yang tinggi seperti penggunaan aplikasi kecerdasan buatan, penstriman video, perkhidmatan awam dan Internet benda (IoT)," menurut kenyataan itu.

 

Pengguna juga mempunyai pilihan yang lebih banyak sehingga lima syarikat Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) di bawah kelolaan MCMC dan perkhidmatan jalur lebar Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) yang dikendalikan oleh Kerajaan Sarawak.

 

Kesemua perkhidmatan itu berkongsi infrastruktur dan spektrum melalui susunan MOCN.

 

Kejayaan ini juga turut didorong oleh kerjasama yang kukuh antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak.


Dengan memperkasakan kesalinghubungan luar bandar, Projek SMART600 turut merealisasikan aspirasi Sarawak Digital Economy Blueprint 2030 bagi menggalakkan aktiviti ekonomi digital dan menaik taraf sosioekonomi rakyat 
Sarawak serta memastikan tiada rakyat yang tercicir.


Kerajaan Sarawak, melalui SDEC selaku peneraju pelaksanaan inisiatif ini akan membiayai perbelanjaan modal (CAPEX) yang diperlukan untuk pembinaan menara tersebut. 

 

Bagi memastikan kelestarian jangka panjang, MCMC yang mewakili kerajaan Persekutuan bersama-sama dengan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL Communications) terlibat 
bagi membiayai perbelanjaan operasi (OPEX). 

 

Model pembiayaan bersama ini memastikan menara-menara di kawasan pedalaman Sarawak dapat terus beroperasi walaupun berdepan dengan cabaran geografi dan ekonomi. - DagangNews.com