Projek pusat data terus jadi pemangkin kuat pertumbuhan Sunway Construction, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek pusat data terus jadi pemangkin kuat pertumbuhan Sunway Construction, kata penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Nov - Projek pusat data (DC) dijangka terus menjadi pemacu utama bagi Sunway Construction Group Bhd (SunCon), yang minggu lalu mencatatkan prestasi cemerlang bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3Q25), menurut penganalisis.

 

Keuntungan teras syarikat melebihi jangkaan ramai penganalisis, dengan TA Research meletakkan prestasi ini didorong oleh bil pengebilan projek DC yang lebih pantas daripada dijangka.

 

Selain itu, tambah firma berkenaan, sumbangan kukuh daripada projek pembangunan dalaman seperti Sunway Square dan Sunway Ipoh Mall dalam divisyen pembinaan turut menjadi pemangkin kecemerlangan itu.

 

"Pendapatan SunCon meningkat lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada RM4.3 bilion, disokong oleh kadar peningkatan buku pesanan yang lebih tinggi daripada sumbangan projek DC yang meningkat.

 

"Dengan RM3.9 bilion telah dimasukkan ke dalam buku pesanan, jumlah baki pesanan belum ditagih kini berada pada RM5.4 bilion, memberikan ketelusan pendapatan untuk tiga tahun akan datang," kata firma itu.

 

Sementara itu RHB Research berkata, untuk mencapai sasaran projek baharu sebanyak RM6 bilion, SunCon perlu memperoleh projek baharu daripada syarikat induknya, terutamanya bagi projek berkaitan hartanah seperti Seremban Sentral, berserta kemungkinan kerja pengembangan untuk JHB1X0 DC di Sedenak dengan kapasiti rancangan antara 200MW hingga 300MW.

 

“Manakala bonus tambahan adalah sekiranya syarikat berjaya menambat projek DC di Lembah Klang pada tahun ini,” kata firma penyelidikan itu.

 

Disebabkan prestasi cemerlang 3Q25, SunCon telah memutuskan untuk mempercepatkan pengiktirafan bil, terutamanya bagi projek DC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) hingga FY26.

 

“Oleh itu, kami menetapkan harga sasaran (TP) baharu RM7.32 daripada RM7.26, yang mengambil kira premium ESG 6% dan diperoleh dengan menggandakan EPS FY26 pada nisbah PE 23.5 kali yang tidak berubah,” tambah laporan itu.

 

Sementara itu, CGS International (CGSI) menjangkakan prestasi 4Q25 lebih lemah kerana beberapa projek DC syarikat hampir siap, tetapi percaya SunCon mampu memanfaatkan kontrak peningkatan daripada pelanggan DC sedia ada dalam beberapa bulan akan datang.

 

“Di antara semua kontraktor yang kami pantau, kumpulan ini kelihatan paling kukuh dalam ruang DC, dengan DC menyumbang 52% daripada buku pesanan RM5.4 bilion setakat September. 

 

"Ia juga mempunyai pelanggan DC bertaraf satu, merangkumi empat klien, dan merupakan antara segelintir kontraktor yang pernah menyiapkan DC secara tempatan,” katanya.

 

Dengan itu, firma penyelidikan mengekalkan penarafan TAMBAH pada saham ini dengan RM7.10. - DagangNews.com